PETALING JAYA: Pembangunan pusat data di Malaysia berada dalam kapasiti operasi yang kukuh dan dijangka melonjak hampir empat kali ganda menjelang penghujung tahun 2026.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, kapasiti operasi pusat data di negara ini diunjur mencapai sekitar 2,055 megawatt (MW) menjelang akhir tahun ini berbanding 522 MW yang direkodkan pada suku pertama 2025.
“Tinjauan bagi pembangunan pusat data kekal teguh sehingga 2030 dengan jangkaan pertambahan kapasiti antara lapan gigawatt (GW) hingga sembilan GW di Malaysia.
“Pemaju kini melaksana tindakan konkrit merangkumi aspek kelestarian dan sosial yang berupaya mengurangkan penggunaan air serta tenaga. Pada masa sama, penetapan syarat kandungan tempatan turut meningkatkan limpahan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Kashif berkata, pemaju pusat data di Malaysia tidak membina fasiliti secara spekulatif tanpa penyewa, sebaliknya sebahagian besar pusat data baharu sudah mempunyai komitmen pengguna sedia ada.
Katanya, kapasiti pra-sewaan di negara ini telah meningkat daripada kira-kira 0.85 GW pada separuh pertama 2025 kepada 1.2 GW dalam tempoh sama tahun ini.
“Kedudukan ini meletakkan Malaysia di tangga kedua di seluruh rantau Asia Pasifik di belakang Jepun, sekali gus membuktikan kekuatan dan kawal selia industri yang baik di negara ini.
“Dari segi kelestarian, kerajaan melalui saranan Pertubuhan Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) telah mengehadkan kelulusan bagi pusat data bukan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang cenderung menggunakan sumber air dan tenaga yang tinggi.
“Setiap pusat data baharu diwajibkan 10 peratus lebih cekap tenaga berbanding piawaian luar negara,” katanya.
Tambah beliau, pemaju pusat data turut membantu membiayai projek penjanaan tenaga baharu merangkumi tenaga boleh baharu (TBB) dan gas yang dijangka menyumbang sehingga 18 GW kapasiti tambahan menjelang 2030.
Dalam pada itu, beliau berkata, syarat penjimatan air yang ketat dikenakan kepada pemaju, menyaksikan Johor yang menjadi hab utama telah menolak tiga daripada setiap 10 permohonan pusat data kerana gagal memenuhi piawaian kelestarian.
Jelasnya, industri di Johor turut memanfaatkan 12 juta liter air sisa terawat sehari bagi menggantikan air bersih domestik.
“Contohnya, projek pusat data berskala besar bernilai RM8 bilion oleh syarikat China, ZData di Gelang Patah yang menerima penarafan GreenRE Platinum, Persijilan Air Kitar Semula Pusat Data Hijau Malaysia serta akses tenaga solar mulai 2028.
“Selain itu, ia menyediakan sekurang-kurangnya 200 peluang pekerjaan untuk bakat tempatan daripada keseluruhan 400 hingga 500 jawatan,” katanya.
Bagi memastikan limpahan ekonomi terus dinikmati rakyat, beliau berkata, Kerajaan Selangor menetapkan syarat supaya 30 peratus daripada kandungan yang dipasang di fasiliti baharu menggunakan khidmat syarikat tempatan, bermakna 30 sen bagi setiap ringgit yang dibelanjakan disalurkan kepada firma tempatan.
“Bagi peringkat Persekutuan, kerajaan menawarkan insentif cukai bagi penggunaan kandungan tempatan serta hanya meluluskan projek gred berskala besar berprestasi tinggi berasaskan AI.
“Kelebihan daya saing ini meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk menjadi pasaran pusat data terbesar di Asia Tenggara menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN











