GTA dilantik pengedar Safran Helicopter Engines di Brunei - Utusan Malaysia

GTA dilantik pengedar Safran Helicopter Engines di Brunei

NONEE Ashirin Mohd. Radzi (duduk kiri) dan Pengarah Urusan Safran Helicopter Engines Asia, Wong Sze Ming Steven (duduk kanan) memeterai Perjanjian Pengedaran antara Global Turbine dan Safran Helicopter Engines Asia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: GTA Holdings Berhad (GTA) memperluas kehadirannya dalam pasaran sokongan aeroangkasa serantau menerusi pelantikan anak syarikat milik penuhnya, Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (Global Turbine), sebagai pengedar Safran Helicopter Engines di Brunei.

Pelantikan itu susulan pemeteraian Perjanjian Pengedaran antara Global Turbine dan Safran Helicopter Engines Asia, sekali gus membolehkan GTA menyokong pengedaran produk serta perkhidmatan Safran Helicopter Engines di negara berkenaan.

Perjanjian berkenaan dibina berasaskan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Global Turbine dan Safran Helicopter Engines Asia pada awal Julai lalu bagi memperluas kerjasama kedua-dua pihak dari Malaysia ke Brunei.

Perkembangan berkenaan turut mencerminkan pengukuhan hubungan strategik yang telah dibina menerusi kerjasama teknikal, kecemerlangan operasi dan kepercayaan bersama sejak beberapa tahun lalu.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd. Radzi, berkata peluasan operasi ke Brunei bukan sahaja meningkatkan kehadiran kumpulan itu di pasaran serantau, malah mengukuhkan hubungan strategik dengan Safran Helicopter Engines Asia.

“Bersama-sama, kami berkongsi komitmen yang sama untuk menyediakan penyelesaian sokongan aeroangkasa yang boleh dipercayai dan memperkukuh keupayaan penerbangan di rantau ini,” katanya.

Di bawah perjanjian berkenaan, GTA diberi kuasa untuk memasarkan serta menyokong produk dan perkhidmatan Safran Helicopter Engines terpilih di Brunei.

Pelantikan itu akan memperkukuh keupayaannya dalam memenuhi keperluan pelanggan di negara berkenaan, selain meluaskan rangkaian aktiviti sokongan aeroangkasa yang dibenarkan sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan serantaunya.

GTA merupakan syarikat pegangan pelaburan yang anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan, dengan pengkhususan dalam enjin helikopter dan pesawat sayap tetap, selain alat ganti serta komponen.

Peluasan hubungan dengan Safran itu turut menunjukkan potensi kerjasama antara syarikat aeroangkasa tempatan dan pengeluar peralatan asal (OEM) global dalam menyumbang kepada pembangunan keupayaan, peningkatan sokongan pelanggan dan pertumbuhan ekosistem aeroangkasa serantau.

Perkembangan itu dijangka menjadi antara langkah strategik GTA dalam memperluas rangkaian perkhidmatan serta peluang perniagaan di pasaran Asia Tenggara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×