KUALA LUMPUR: CIMB Bank Berhad dan CIMB Investment Bank (CIMB) terus mengukuhkan kedudukan dalam industri kewangan apabila meraih tiga anugerah utama pada Euromoney Awards for Excellence 2026.
CIMB dinobatkan sebagai Bank Runcit Terbaik Malaysia, Bank Digital Terbaik Malaysia untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Bank Pelaburan Terbaik Malaysia.
Pengiktirafan berkenaan mencerminkan prestasi, inovasi dan impak kepada pelanggan yang dicapai CIMB, selain usaha berterusannya dalam menyediakan penyelesaian kewangan berorientasikan pelanggan menerusi inovasi, keupayaan digital dan kepakaran pasaran yang kukuh.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, kejayaan itu membuktikan kepercayaan pelanggan serta komitmen pasukan bank dalam memenuhi keperluan individu dan perniagaan.
“Pengiktirafan ini adalah bukti kepercayaan pelanggan serta dedikasi pasukan kami di seluruh bank.
“Ia mengukuhkan semula tujuan CIMB untuk memacu kemajuan pelanggan dan masyarakat dengan menjadikan penyelesaian kewangan lebih mudah diakses, relevan dan memberi impak kepada individu serta perniagaan yang kami berkhidmat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, CIMB akan terus menjadi rakan kongsi dipercayai dalam membantu individu merealisasikan aspirasi mereka, selain menyokong perniagaan mencapai matlamat pertumbuhan melalui penciptaan nilai yang bermakna dan berkekalan.
Dalam perbankan runcit, CIMB terus memperkukuh segmen perniagaannya menerusi penawaran diperibadikan, pengalaman digital serta penglibatan lebih kukuh dengan kumpulan pelanggan utama.
Prestasi pendapatan dan keuntungan turut meningkat sepanjang tahun, disokong pertambahan bahagian pasaran dalam pembiayaan kenderaan, kad kredit dan deposit runcit, selain peningkatan jualan digital serta penawaran silang kepada pelanggan.
CIMB turut memperkukuh penawaran pengurusan kekayaan menerusi penyelesaian pelaburan yang berbeza, kepelbagaian produk lebih luas, khidmat nasihat diketuai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) serta platform pengurusan kekayaan digital yang dipertingkatkan.
Momentum itu khususnya ketara dalam segmen Preferred, mencerminkan penglibatan lebih mendalam dengan pelanggan berkemampuan tinggi serta tumpuan bank terhadap khidmat nasihat dan hubungan pelanggan dalam pengurusan kekayaan.
Bagi segmen PKS pula, CIMB terus memperluas perbankan digital menerusi pelancaran CIMB OCTO Biz, yang menghubungkan pembukaan akaun, pembiayaan dan perbankan transaksi dalam satu perjalanan digital hujung ke hujung.
Platform itu telah menarik lebih 280,000 pelanggan setakat ini, dengan menawarkan kemudahan melihat aliran tunai secara masa nyata, pembayaran, pertukaran asing, perdagangan serta perkhidmatan pembiayaan.
Bank turut memperluas akses pembiayaan menerusi kemudahan pembiayaan pedagang bersepadu dengan TNG eWallet, selain pembiayaan fleksibel melalui SME FlexiCash.
Kemudahan berkenaan menggunakan rekod sejarah akaun dan corak transaksi untuk menentukan had pra-kelayakan serta menghubungkan pembayaran balik kepada sebahagian daripada hasil perniagaan, sekali gus membantu perniagaan yang mempunyai aliran tunai tidak sekata.
Sementara itu, kepimpinan CIMB Investment Bank dalam pasaran modal ekuiti dan hutang Malaysia, penggabungan dan pengambilalihan (M&A), serta penyelesaian nasihat kewangan khusus turut mengukuhkan kedudukannya sebagai bank pelaburan utama.
Pada 2025, CIMB Investment Bank menduduki tempat pertama dalam pasaran modal ekuiti dan hutang Malaysia berdasarkan nilai urus niaga serta bahagian dompet (share of wallet).
Bank itu turut menduduki kedudukan teratas dalam pasaran modal ekuiti dan hutang ASEAN berdasarkan nilai urus niaga, dengan kejayaan melaksanakan transaksi rentas sempadan yang mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju M&A dan khidmat nasihat di rantau ASEAN.
Tiga anugerah berkenaan turut mengukuhkan janji jenama CIMB, Moving You Forward, yang mencerminkan komitmen berterusan bank dalam memperkasa pelanggan dan komuniti menerusi penyelesaian kewangan yang mudah diakses, inklusif serta berteraskan tujuan.
Euromoney Awards for Excellence, yang telah berlangsung lebih 30 tahun, mengiktiraf institusi kewangan yang menetapkan penanda aras global dari segi prestasi, inovasi dan impak kepada pelanggan.
Program anugerah itu menilai institusi kewangan menerusi rangka kerja penanda aras Euromoney dengan menggunakan metrik yang boleh dibandingkan, penyerahan maklumat berstruktur serta proses penyelidikan telus bagi menilai prestasi institusi berbanding pesaing masing-masing.-UTUSAN










