PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuka rundingan awam bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan memperkukuh ekosistem tadbir urus korporat negara menerusi penerbitan Kertas Perundingan yang bermula hari ini hingga 31 Julai 2026.
Cadangan itu merupakan susulan kepada Kertas Perbincangan mengenai Rangka Kerja Tadbir Urus Korporat yang diterbitkan pada Disember tahun lalu, dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.
SC berkata, kertas perundingan tersebut menggariskan empat cadangan utama yang bertujuan meningkatkan akauntabiliti pihak berkepentingan dalam tadbir urus, memperkukuh amalan tadbir urus dan ketelusan syarikat tersenarai awam (PLC), serta memperkasakan pemegang saham bagi mengukuhkan disiplin pasaran.
“Antara cadangan yang dikemukakan ialah mempertingkatkan pengawasan terhadap setiausaha syarikat menerusi keperluan baharu bagi meningkatkan profesionalisme, kualiti dan keberkesanan mereka dalam menyokong lembaga pengarah serta memberi nasihat berkaitan tadbir urus,” katanya dalam kenyataan.
SC berkata, pihaknya mencadangkan penubuhan Dana Litigasi Pemegang Saham bagi menyediakan sokongan kewangan dan bantuan guaman kepada pemegang saham untuk membawa tuntutan undang-undang yang mempunyai merit serta memberi manfaat kepada pemegang saham dan pasaran secara keseluruhan.
“Selain itu, suruhanjaya itu mencadangkan panduan tadbir urus yang lebih jelas bagi syarikat yang mempunyai pemilikan tertumpu, termasuk syarikat milik keluarga, memandangkan struktur sedemikian masih dominan dalam landskap korporat Malaysia,” katanya.
Dalam aspek teknologi, SC juga mendapatkan maklum balas mengenai jangkaan terhadap peranan lembaga pengarah dalam menyelia tadbir urus teknologi, termasuk pendedahan berkaitan penggunaan serta pengurusan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut SC, semakan dan cadangan penambahbaikan itu sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 yang meletakkan disiplin pasaran sebagai pemacu utama kepada ekosistem tadbir urus korporat yang lebih kukuh dan berkesan.
“SC mengalu-alukan penyertaan syarikat tersenarai awam, pelabur, persatuan industri serta pihak berkepentingan lain untuk mengemukakan maklum balas sepanjang tempoh rundingan yang berakhir pada 31 Julai 2026.
“Kertas Perundingan boleh diakses melalui laman sesawang SC,” katanya. – UTUSAN










