Samad Majid Zain dilantik CEO baharu SME Bank - Utusan Malaysia

Samad Majid Zain dilantik CEO baharu SME Bank

SAMAD MAJID ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), anak syarikat kepada Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) melantik Samad Majid Zain sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa 1 Julai 2026.

Sejak menyertai SME Bank sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada November 2021, Samad telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus kewangan, daya tahan organisasi serta pelaksanaan strategi SME Bank.

Sebelum pelantikan ini, beliau telah menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif iaitu beliau berjaya menerajui SME Bank melalui tempoh peralihan kepimpinan dengan mengekalkan momentum strategik serta memperkukuh mandat SME Bank dalam menyokong pertumbuhan dan daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

Pengerusi SME Bank, Zulkiflee Hashim berkata, plantikan ini mencerminkan keyakinan lembaga pengarah terhadap kepimpinan beliau, pengalaman luas dalam industri perkhidmatan kewangan serta komitmen teguh beliau dalam melaksanakan mandat pembangunan SME Bank.

“Sejak menyertai SME Bank, beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tahan kewangan, kecemerlangan operasi serta pelaksanaan strategi SME Bank, di samping menyediakan kepimpinan yang mantap sepanjang tempoh peralihan yang signifikan.

“Sebagai sebahagian daripada Kumpulan BPMB, lembaga pengarah yakin beliau akan terus memperkukuh asas yang telah dibina bagi meningkatkan impak pembangunan SME Bank, pemerkasaan PMKS Malaysia serta menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum menyertai SME Bank, Samad Majid merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan di sebuah bank pelaburan tempatan yang disokong oleh sebuah institusi perbankan.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang ‘External Assurance’ di salah sebuah firma audit ‘Big Four’ sebelum menyertai pasukan ‘Management Assurance’ di sebuah konglomerat multinasional tempatan.

Beliau mempunyai lebih tiga dekad pengalaman merangkumi bidang kewangan, jaminan, perbendaharaan, perbankan pelaburan, kewangan korporat serta kepimpinan operasi, termasuk lebih 19 tahun memegang pelbagai jawatan pengurusan tertinggi dalam industri perkhidmatan kewangan.

Samad Majid juga merupakan ‘Chartered Banker’ yang diiktiraf oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) serta Fellow Certified Practising Accountant (FCPA) daripada CPA Australia.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Perakaunan dan Kewangan daripada Universiti Western Australia serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan pengkhususan dalam Pengurusan Teknologi Maklumat daripada Universiti Multimedia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN