PETALING JAYA: Ringgit dijangka mengukuh mencecah RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun bergantung kepada perkembangan Rizab Persekutuan (Fed) yang mengambil pendekatan yang kurang agresif terhadap kadar faedah.
Pada pukul 5 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0660/4.0720 berbanding dolar AS daripada 4.0720/4.0780 ketika ditutup pada Khamis.
Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan, Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, jangkaan pengukuhan mata wang tempatan didorong oleh kemungkinan dolar AS menjadi lebih lemah sekiranya kadar faedah di negara itu tidak lagi meningkat dan hasil bon Perbendaharaan AS terus menurun.
Katanya, keadaan tersebut akan mengecilkan jurang pulangan antara aset kewangan AS dan Malaysia, sekali gus mengurangkan daya tarikan dolar AS serta meningkatkan permintaan terhadap mata wang serantau termasuk ringgit.
“Dari sudut domestik, asas ekonomi Malaysia yang masih kukuh turut menyokong prospek ringgit. Antaranya ialah pertumbuhan ekonomi yang stabil, prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E), peningkatan pelaburan, pemulihan sektor pelancongan serta inflasi yang kekal terkawal.
“Faktor-faktor ini mampu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap aset Malaysia, di samping disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), pembawaan pulang hasil eksport dan penukaran sebahagian deposit mata wang asing kepada ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata, pencapaian paras RM3.90 masih bergantung kepada kekuatan serta tempoh aliran masuk modal asing ke negara ini.
Beliau berkata, faktor luaran terus menjadi pemacu utama prestasi ringgit dan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memandangkan Malaysia merupakan ekonomi yang terbuka serta banyak bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
Katanya, pergerakan kedua-dua aset itu lebih banyak dipengaruhi oleh aliran modal global, dasar monetari AS, kekuatan dolar, harga minyak mentah, prestasi ekonomi China serta perkembangan geopolitik dunia.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar AS apabila pelabur terus berhati-hati terhadap pergerakan kapal di Selat Hormuz susulan ketegangan geopolitik yang masih dipantau.
Katanya, ringgit turut disokong oleh kenyataan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis yang menunjukkan asas ekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang lebih kukuh.
“Peningkatan ketara eksport sektor E&E membuktikan Malaysia terus mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan global dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi.
“Perkembangan ini meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara, sekali gus memberikan sokongan kepada pengukuhan nilai ringgit,” katanya.
Dalam pada itu, BIMB Securities Research berkata, ringgit dijangka mengukuh kepada sekitar RM3.90 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, didorong oleh perkembangan positif dalam sektor luaran negara.
Firma penyelidikan itu berkata, faktor luaran mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap prestasi ringgit dan FBM KLCI berbanding faktor politik domestik seperti pilihan raya.
Menurutnya, rekod sejarah menunjukkan ringgit dan FBM KLCI tidak semestinya mencatat prestasi lebih baik selepas pilihan raya umum, termasuk pada tempoh sebelum tahun 2000 ketika kerajaan memerintah memiliki majoriti dua pertiga yang kukuh.
“Bagi pasaran kewangan Malaysia yang kecil dan terbuka, pergerakan ringgit dan pasaran saham lebih banyak dipengaruhi faktor global seperti kadar faedah AS, sentimen risiko, harga komoditi dan aliran modal berbanding keputusan pilihan raya,” katanya dalam nota penyelidikan.
BIMB menjangkakan kadar pertukaran dolar AS akan mencatat purata sekitar 3.95 bagi baki tahun ini, disokong oleh prestasi sektor luaran Malaysia yang terus kukuh serta jurang kadar faedah yang semakin mengecil antara Malaysia dan AS.
Menurut firma penyelidikan itu, walaupun Fed dijangka melonggarkan dasar monetarinya secara berhati-hati, pengurangan jurang antara Kadar Dana Persekutuan dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia akan mengurangkan sokongan terhadap dolar AS dari masa ke semasa. – UTUSAN










