PETALING JAYA: Juwai IQI menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus sebelum akhir tahun ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI, Kashif Ansari berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) masih mempunyai dua lagi mesyuarat selepas mesyuarat 9 Julai ini, iaitu pada September dan November.
Katanya, terdapat kemungkinan sebenar BNM menaikkan OPR dalam salah satu daripada mesyuarat berkenaan.
“Ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas berbanding kebanyakan ekonomi global dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.4 peratus pada suku pertama.
“Walaupun pertumbuhan itu lebih rendah berbanding 6.2 peratus pada suku sebelumnya dan lebih rendah daripada sesetengah negara serantau, ia masih jauh mengatasi purata 3.1 peratus bagi pasaran membangun,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Ansari berkata, pihaknya masih menjangkakan MPC mengekalkan kadar dasar monetari tanpa perubahan sepanjang baki tahun ini.
“Jika kadar dinaikkan menjelang akhir tahun, ia berkemungkinan berpunca daripada kekuatan ekonomi yang tidak dijangka, melebihi jangkaan kebanyakan penganalisis ketika ini,” katanya.
Mengulas mengenai mesyuarat MPC pada Khamis ini, beliau berkata, pihaknya tidak menjangkakan sebarang perubahan dan keputusan itu akan menandakan tempoh setahun kadar faedah berada pada paras stabil.
“Namun, perkembangan dalam mesyuarat MPC pada separuh kedua 2026 masih kurang pasti.
“Buat masa ini, kadar yang stabil membolehkan pembeli rumah membuat perancangan dengan lebih jelas berhubung kos bayaran gadai janji. Kepastian ini membantu menyokong keputusan kewangan jangka panjang yang lebih yakin,” katanya.
Sementara itu, Ansari berkata, selain pertumbuhan ekonomi yang kukuh, faktor utama yang berpotensi mendorong BNM menaikkan kadar pada akhir 2026 ialah harga minyak kerana ia mempunyai kesan besar terhadap inflasi.
“Konflik di Teluk menyebabkan harga tenaga meningkat dan kesannya turut dirasai melalui peningkatan inflasi. Inflasi keseluruhan mencapai 2.0 peratus pada Mei, paras tertinggi dalam tempoh hampir dua tahun.
“Namun, jika keamanan di rantau Teluk dapat dikekalkan, tekanan inflasi berkemungkinan berkurangan.
“Keadaan ini boleh membuka ruang untuk memulihkan semula kuota subsidi bahan api, menyediakan diesel lebih murah kepada perniagaan dan petani, selain mengurangkan kos penghantaran bagi barangan eksport dan import Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan serantau turut berpotensi meningkatkan jumlah pelancong dan menurunkan tambang penerbangan.
“Kesemua faktor ini akan membantu mengurangkan inflasi serta meringankan kos sara hidup rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










