KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan sebanyak 106 persinggahan kapal persiaran antarabangsa setakat Jun tahun ini, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan pemain industri global terhadap negara sebagai destinasi pelancongan pelayaran.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, industri pelayaran terus menjadi antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negara dengan memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor termasuk pengangkutan, restoran, peruncitan, pengusaha pelancongan, penggiat budaya serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ujarnya, Malaysia kini mempunyai empat pelabuhan persiaran antarabangsa utama iaitu di Pulau Pinang, Pelabuhan Klang, Langkawi dan Kota Kinabalu yang mengukuhkan kedudukan negara dalam rangkaian pelayaran serantau.
“Pelabuhan-pelabuhan ini memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam rangkaian pelayaran serantau dan pada masa sama membuka lebih banyak peluang pelancongan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Sehingga Jun tahun ini, Malaysia merekodkan 106 persinggahan kapal persiaran antarabangsa, dengan Pulau Pinang terus muncul sebagai antara pintu masuk pelayaran paling sibuk di rantau ini,” katanya dalam ucaptama sempena CruiseWorld Malaysia 2026 di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden StarDream Cruises, Michael Goh, Pengarah UrusanGolden Destinations Group Berhad, Mita Lim dan Naib Presiden dan Penerbit Kumpulan, Northstar Travel Group, Irene Chua.
Beliau beliau, kerajaan turut meneroka peluang memperkukuh lagi rangkaian industri pelayaran melalui destinasi baharu termasuk Kuala Lumpur dan Sarawak bagi memastikan manfaat ekonomi sektor itu dapat dinikmati dengan lebih meluas.
King Sing berkata, perkembangan industri pelayaran global menunjukkan permintaan terhadap percutian kapal persiaran terus meningkat apabila pelancong kini lebih mengutamakan fleksibiliti, kemudahan dan nilai yang ditawarkan.
“Dalam beberapa bulan akan datang, Malaysia dijangka menerima ketibaan Adora Cruises dari China, Princess Cruises dari United Kingdom dan Celebrity Cruises dari Amerika Syarikat (AS).
“Perkembangan ini mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap Malaysia serta mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai destinasi pelayaran yang semakin menarik di rantau ini,” ujarnya
Sementara itu, beliau turut menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara StarCruises dan Golden Destinations Group Berhad, yang menandakan kerjasama strategik bagi terus memperkukuh sektor pelancongan kapal persiaran Malaysia.
Di bawah perjanjian itu, Golden Destinations akan menyewa (charter) kapal persiaran Star Voyager bagi lima pelayaran khas yang akan berlepas dari Pelabuhan Klang sempena cuti persekolahan Disember 2026, menawarkan pelayaran selama dua malam dan tiga malam ke Phuket dan Krabi, Thailand.
Program sewaan khas itu mencerminkan peningkatan permintaan terhadap percutian kapal persiaran dalam kalangan rakyat Malaysia, selain mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara hab pelayaran utama di rantau ini.
Lima pelayaran sewaan khas itu akan berlepas antara 5 hingga 22 Disember 2026, menawarkan pilihan pakej pelayaran selama dua malam dan tiga malam ke Phuket dan Krabi menggunakan kapal persiaran Star Voyager. – UTUSAN










