PETALING JAYA: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menaikkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2026 kepada 800,000 unit berbanding sasaran awal 790,000 unit, didorong prestasi jualan kenderaan yang memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini.
Presiden MAA, Mohd. Shamsor Mohd. Zain berkata, semakan semula unjuran itu dibuat selepas industri automotif merekodkan jualan sebanyak 385,353 unit dalam tempoh enam bulan pertama 2026, meningkat tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, pencapaian itu mewakili 49 peratus daripada unjuran awal TIV sebanyak 790,000 unit sekali gus mencerminkan momentum pertumbuhan yang kekal positif.
“Keyakinan pengguna dijangka terus menjadi pemacu utama prestasi TIV pada separuh kedua tahun ini, disokong pertumbuhan peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah yang stabil.
“Selain itu, kadar faedah yang kekal kondusif serta keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus akan terus menyokong permintaan terhadap kenderaan baharu,” katanya pada sidang akhbar Prestasi Industri Automotif Malaysia bagi separuh pertama 2026 di ibu pejabat MAA, di sini, semalam.
Menurut beliau, lanjutan tempoh penangguhan pelaksanaan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) dan Peraturan P.U. (A) 402 berkaitan cukai eksais sehingga 31 Disember 2026 turut memberikan kepastian yang lebih baik kepada industri pada separuh kedua tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, sebarang pengumuman berhubung pelaksanaan dasar tersebut bagi tahun hadapan dijangka mempengaruhi prospek jualan industri.
Dalam pada itu, MAA turut menaikkan unjuran jualan kenderaan elektrik dan elektrifikasi (xEV) kepada 120,000 unit berbanding sasaran awal 100,000 unit, mewakili 15 peratus daripada keseluruhan unjuran TIV tahun ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shamsor, kenderaan elektrik bateri (BEV) dan hibrid dijangka menyumbang secara seimbang kepada jumlah tersebut dengan masing-masing dianggarkan mencatat jualan sebanyak 60,000 unit.
“Dari segi prestasi mengikut segmen, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan pacuan empat roda (4WD) merekodkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 19 peratus kepada 118,837 unit pada separuh pertama tahun ini.
“Sebaliknya, segmen pikap terus tertekan apabila jualannya susut 19 peratus kepada 15,653 unit berikutan permintaan yang lebih perlahan,” katanya.
Mengulas mengenai ketidaktentuan geopolitik global dan risiko gangguan rantaian bekalan, Mohd. Shamsor berkata, unjuran TIV sebanyak 800,000 unit disifatkan sebagai sasaran yang realistik memandangkan pengeluar automotif mempunyai strategi masing-masing untuk menguruskan cabaran tersebut.
“Berdasarkan maklum balas ahli kami, setakat ini tiada petunjuk bahawa syarikat akan menaikkan harga kenderaan susulan peningkatan kos, namun perkembangan itu akan terus dipantau dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










