PASARAN trak pikap di Malaysia semakin menarik dengan kemunculan model-model baharu yang menawarkan gabungan prestasi, teknologi moden dan harga yang lebih kompetitif.
Jika dahulu pilihan pengguna banyak tertumpu kepada jenama Jepun seperti Toyota, Isuzu dan Mitsubishi atau Ford dari Amerika Syarikat, kini pengeluar automotif China mula menunjukkan bahawa mereka juga mampu menghasilkan trak pikap yang setanding, malah dalam beberapa aspek menawarkan lebih banyak nilai.
Antara model yang sedang menjadi perhatian ialah JAC T9 Grand-ES, trak pikap 4×4 diesel yang dibawa masuk ke Malaysia oleh Evolvelectric Motors.
Dengan harga sekitar RM120,000, model ini diposisikan sebagai sebuah trak pikap premium mampu milik yang menawarkan pelbagai teknologi moden.
Bagi melihat sendiri sejauh mana kemampuan sebenar model ini, kami berpeluang memandu uji JAC T9 Grand-ES di laluan Jalan Lama Gombak menuju Janda Baik.
Laluan ini menawarkan kombinasi jalan bandar, lebuh raya, selekoh berbukit dan permukaan jalan yang tidak sekata, sekali gus menjadi medan yang sesuai untuk menilai prestasi, keselesaan dan pengendaliannya.
Prestasi meyakinkan dengan enjin 2.0 liter turbo diesel
Di atas kertas, JAC T9 Grand-ES menggunakan enjin 2.0 liter turbo diesel yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan empat roda.
Walaupun kapasiti enjinnya lebih kecil berbanding beberapa pesaing dalam segmen yang menggunakan enjin 2.4 liter atau 2.8 liter, prestasi yang dipamerkan sepanjang sesi pandu uji benar-benar mengejutkan.
Sejurus pedal minyak ditekan, penghantaran kuasa terasa pantas dan lancar tanpa turbo lag yang ketara. Tork pada putaran enjin rendah cukup untuk menggerakkan trak ini dengan yakin sama ada ketika memecut dari keadaan pegun atau mendaki laluan berbukit menuju Janda Baik.
Transmisi automatik lapan kelajuan pula bekerja dengan baik, menghasilkan pertukaran gear yang halus dan responsif dalam pelbagai situasi pemanduan.
JAC turut menyediakan beberapa mod pemanduan yang boleh dipilih mengikut keadaan jalan. Untuk pemanduan harian, mod Normal memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi dan penggunaan bahan api, manakala mod Sport menawarkan tindak balas pendikit yang lebih pantas ketika memerlukan kuasa tambahan.
Namun begitu, sepanjang pemanduan di laluan yang lebih mencabar, kami mendapati mod Eco sebenarnya lebih sesuai digunakan ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata atau off-road ringan.
Dalam mod Normal dan Sport, respon pendikit yang lebih agresif menyebabkan badan trak terasa sedikit melambung apabila melalui jalan beralun. Sebaliknya, mod Eco menjadikan penghantaran kuasa lebih terkawal dan memberikan pengalaman pemanduan yang lebih stabil.
Sistem suspensinya juga memberikan kejutan yang menyenangkan. Menggunakan suspensi hadapan jenis double wishbone bebas dan suspensi belakang multi-link bersama leaf spring, JAC T9 Grand-ES menawarkan tahap keselesaan yang jauh lebih baik daripada jangkaan.
Kebanyakan hentakan kecil berjaya diserap dengan baik ketika melalui jalan bandar, manakala di lebuh raya trak ini terasa stabil walaupun mengambil selekoh pada kelajuan yang lebih tinggi.
Walaupun sedikit pergerakan badan masih dapat dirasai di jalan beralun, ia masih berada dalam tahap yang normal bagi sebuah trak pikap.

Kabin moden dengan teknologi yang lengkap
Sebaik memasuki ruang kabin, suasana yang ditawarkan memberikan gambaran bahawa JAC mahu membawa pengalaman sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) premium ke dalam segmen trak pikap.
Rekaan papan pemuka kelihatan moden dan kemas, dengan skrin infotainmen bersaiz 10.4 inci menjadi fokus utama di bahagian tengah.
Seperti kebanyakan model keluaran China masa kini, aspek teknologi menjadi antara kekuatan utama JAC T9 Grand-ES. Sistem infotainmennya menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, membolehkan sambungan telefon pintar dilakukan dengan mudah sepanjang perjalanan.
Antara ciri yang paling berguna ialah kamera 360 darjah yang memberikan pandangan menyeluruh di sekeliling kenderaan. Bagi sebuah trak pikap yang mempunyai dimensi besar, ciri ini amat membantu ketika meletakkan kenderaan di kawasan parkir yang sempit, terutama di pusat bandar seperti Kuala Lumpur.
Selain menawarkan kabin yang moden, JAC T9 Grand-ES turut menampilkan pakej keselamatan yang sukar ditandingi dalam julat harganya.
Trak ini dilengkapi dengan tujuh beg udara termasuk beg udara tengah dan tirai sisi, selain menerima pakej lengkap sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) seperti Autonomous Emergency Braking, Forward Collision Warning, Blind Spot Detection, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control, Intelligent Adaptive Cruise Control, Emergency Lane Keeping, Lane Change Assist, Traffic Sign Recognition, Hill Descent Control dan sistem pemantauan tekanan tayar.
Apa yang menarik, kebanyakan ciri keselamatan ini lazimnya hanya ditawarkan pada varian tertinggi trak pikap keluaran Jepun atau AS yang dijual pada harga jauh lebih tinggi.
Dengan JAC T9 Grand-ES, semua teknologi ini ditawarkan sebagai standard pada harga sekitar RM120,000, sekali gus menjadikan nilai yang diterima pembeli sangat kompetitif.
Berbaloi untuk mereka yang mahukan lebih nilai
Selepas menghabiskan sesi pandu uji di laluan Gombak ke Janda Baik, jelas bahawa JAC T9 Grand-ES bukan sekadar sebuah lagi trak pikap dari China yang bersaing menerusi harga murah.
Sebaliknya, ia tampil sebagai sebuah produk yang lengkap dengan prestasi enjin yang meyakinkan, tahap keselesaan yang baik, kabin moden serta teknologi keselamatan yang sebelum ini hanya boleh dinikmati menerusi model yang jauh lebih mahal.
Malah, JAC turut menawarkan pakej jaminan yang memberikan ketenangan kepada pemilik. Enjin dilindungi dengan jaminan selama lapan tahun tanpa had jarak perbatuan untuk pemilik pertama, manakala keseluruhan kenderaan menerima jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had jarak perbatuan.
Pakej ini sedikit sebanyak mampu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama yang masih baharu di pasaran tempatan.
Sudah tentu masih terdapat beberapa perkara yang hanya masa mampu membuktikannya, termasuk rangkaian pusat servis, bekalan alat ganti dan nilai jualan semula.
Sistem suspensi JAC T9 Grand-ES benar-benar mengejutkan kami ia menawarkan keselesaan luar jangka, terutama ketika dipandu di kawasan bandar dan di lebuh raya.
Malah, kestabilannya ketika mengambil selekoh juga mengagumkan. Namun seperti kebanyakan trak pikap lain, anda masih akan terasa sedikit ‘melambung’ apabila melalui jalan beralun.
Bagi mereka yang mahukan sebuah trak pikap untuk kegunaan harian, membawa muatan, melakukan aktiviti lasak atau sekadar memiliki sebuah kenderaan yang lengkap dengan teknologi moden tanpa perlu berbelanja sehingga melebihi RM160,000, JAC T9 Grand-ES wajar berada dalam senarai pilihan.
Ia membuktikan bahawa pengeluar automotif China kini bukan lagi sekadar mengejar pesaing, malah sudah mula memberikan cabaran yang cukup serius kepada pemain-pemain lama dalam pasaran trak pikap Malaysia. – UTUSAN










