Gamuda Land, Taylor’s lancar pembangunan bercampur Haus on 15 - Utusan Malaysia

Gamuda Land, Taylor’s lancar pembangunan bercampur Haus on 15

LOY Teik Ngan (tiga kiri) bersama Gim Teck Yew (tiga kanan) pada majlis pecah tanah Haus on 15 bagi pelaburan hartanah dengan kerjasama Taylor's Assets dan Gamuda Land di Taylor's College SS15 Subang Jaya, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Gamuda Land dan Taylor’s Assets menjalinkan kerjasama strategik bagi membangunkan projek pembangunan bercampur Haus on 15 yang dijangka siap pada separuh pertama 2030, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM540 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Gim Teck Yew berkata, projek berkenaan mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan komuniti yang mampan dengan mengekalkan nilai warisan kawasan sambil memenuhi keperluan pembangunan bandar yang semakin berkembang.

“Projek ini akan menyediakan tiga blok pembangunan, termasuk dua blok kediaman servis untuk dijual kepada orang awam dan satu blok Penginapan Pelajar yang Dibina Khas (PBSA) yang menawarkan dua menara, melibatkan 614 unit (550 hingga ke 980 kaki persegi) serta 24 tingkat bagi memenuhi permintaan penginapan pelajar.

“Subang Jaya yang dianggarkan mempunyai lebih 70,000 pelajar daripada pelbagai institusi pendidikan dilihat memerlukan lebih banyak pilihan penginapan yang selamat, berkualiti dan berorientasikan komuniti.

“Selain memenuhi keperluan pelajar, pembangunan itu turut menyasarkan manfaat ekonomi kepada perniagaan tempatan melalui peningkatan aktiviti komersial di kawasan SS15,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Haus on 15 di sini semalam.

Haus on 15 merupakan sebahagian daripada koridor pendidikan SS15-Subang Jaya yang menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi utama negara termasuk Taylor’s University, Monash University Malaysia, Sunway University, INTI International College dan SEGi College Subang Jaya.

Teck Yew berkata, projek itu bukan sekadar memberi pulangan komersial, malah dirancang untuk meningkatkan kualiti kehidupan penduduk melalui penyediaan ruang awam, kawasan hijau dan kemudahan yang menghubungkan komuniti setempat.

“Projek berkenaan akan menyediakan tiga blok pembangunan, termasuk dua blok kediaman servis untuk dijual kepada orang awam dan satu blok PBSA yang menawarkan kira-kira 253 unit dengan 401 katil bagi memenuhi permintaan penginapan pelajar,” katanya. 

Selain memenuhi keperluan pelajar, pembangunan itu turut menyasarkan manfaat ekonomi kepada perniagaan tempatan melalui peningkatan aktiviti komersial di kawasan SS15.

Dari aspek pelaksanaan, Teck Yew berkata, projek itu tidak akan dibangunkan mengikut jadual konvensional semata-mata, sebaliknya mengambil kira keperluan komuniti setempat, termasuk jadual persekolahan dan peperiksaan bagi mengurangkan gangguan kepada penduduk.

“Pendekatan pembangunan secara berfasa serta libat urus berterusan dengan penduduk, sekolah, pihak berkuasa tempatan dan pemegang taruh menjadi keutamaan bagi memastikan projek dapat diintegrasikan dengan baik ke dalam komuniti SS15,” katanya. 

Sementara itu, jelasnya, harga jualan unit masih belum diumumkan kerana pihak pemaju sedang melengkapkan proses kelulusan berkaitan. 

“Pelancaran rasmi projek dijangka berlangsung sekitar September, manakala galeri jualan dijangka dibuka dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya. 

Beliau berkata, walaupun terdapat minat awal yang tinggi daripada pembeli, keutamaan akan diberikan kepada pembeli yang ingin menduduki sendiri unit kediaman berbanding pembelian untuk tujuan pelaburan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Taylor’s Education Group, Datuk Loy Teik Ngan berkata, Taylor’s College Subang Jaya telah membentuk generasi demi generasi pelajar dan terus menjadi sebahagian penting daripada legasi kami.

“Dengan mentransformasikan tapak bersejarah ini menjadi sebuah komuniti kediaman pelajar yang dinamik, kami mewujudkan persekitaran yang memperkayakan pengalaman pendidikan. 

“Pada masa yang sama, kami memperkukuhkan kedudukan rantau ini sebagai destinasi pilihan bagi pelajar dari seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN