TANAH terbiar wujud di merata tempat, sama ada di sekitar kediaman, kebun, ladang, rizab institusi pengajian tinggi mahupun di tanah milik agensi kerajaan. Kenapa tanah itu tidak diusahakan? Banyak puncanya.
Namun realiti ini ternyata bertentangan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang menggesa umatnya tekun melunaskan amalan Ihya’ al-Mawat (menghidupkan tanah yang mati) yang mempunyai dimensi ekonomi, sosial mahupun agama.
Beberapa laporan menyebut, ada lebih 103,000 hektar tanah pertanian terbiar di seluruh negara. Inilah tanah yang disifatkan ‘mati’ kerana tidak mendatangkan hasil. Antara kesan culas terhadap amalan Ihya’ al Mawat ialah tanah ini menjadi tanah yang gagal memberikan pulangan kewangan bahkan menjadi liabiliti pemiliknya.
Secara purata, sehektar tanah terbiar boleh ditanam 150 pokok kelapa sawit atau 450 pokok getah. Saiz sama boleh ditanam 15,000 pokok cili fertigasi. Jadi secara kasar, tanah yang ‘mati’ di seluruh negara adalah khazanah ekonomi yang tidur sedangkan ia mampu menghasilkan tuaian dan menjana jualan berbilion ringgit setahun. Ini menunjukkan betapa besarnya nilai ekonomi yang sedang terbiar atau diabaikan.
Kes tanah terbiar ini molek dikaitkan dengan inisiatif Ihya’ al-Mawat melalui penanaman sejenis pokok berpotensi, berkualiti dan berprofil tinggi. Namanya pokok gaharu atau sebenarnya pokok karas (Aquilaria malaccensis).
Ia sumber kayu, teras dan resin gaharu. Gaharu bukan komoditi baharu di Malaysia tetapi bahan dagangan utama pedagang Melayu sejak berabad lalu. Pedagang Arab, India dan China datang mendapatkan gaharu dari Nusantara termasuk Tanah Melayu sebelum membawa komoditi itu ke pelabuhan utama dunia. Bakanya turut menyebar ke beberapa negara termasuk China ratusan tahun lalu.
Nilai gaharu yang tinggi turut membawa sisi gelapnya. Permintaan inggi yang berterusan menyebabkan berlaku kegiatan menjarah pokok karas di hutan bagi mendapatkan teras dan resin berkualiti. Seiring dengan potensi ekonominya yang semakin mendapat perhatian, kini terdapat pihak yang mengusahakan tapak semaian benih karas hibrid untuk ditanam secara sah dan komersial.
Inisiatif mengkomersialkan baka pokok gaharu hibrid wajar mendapat sokongan kerajaan serta badan penyelidikan kayu serta perladangan. Ia juga secara tidak langsung mengurangkan aktiviti menebang pokok gaharu liar di hutan. Ini turut melindungi biodiversiti hutan semula jadi serta mengurangkan kegiatan penuaian gaharu secara haram. Pada masa sama, apabila bekalan dari ladang semakin meningkat, tekanan terhadap sumber gaharu liar di hutan juga berpotensi dikurangkan. Semua kebaikan ini dapat meningkatkan mutu ekosistem alam semula jadi dan mengelakkan kepupusan sumber hutan negara.
Baka hibrid karas yang popular dan bemutu tinggi ialah MyKynam. Ia hasil kacukan anak benih pokok karas Malaysia (Aquilaria malaccensis) dan kynam China (Aquilaria sinensis). Pokok gaharu tidak pernah menjadi tanaman bermusim yang popular kerana sensasi, ‘hype’ atau viral.
Permintaan tinggi di pasaran antarabangsa kerana faktor nilai, kualiti dan prestij sehingga harganya menjadi sangat dinamik. Permintaan gaharu global adalah untuk memenuhi keperluan industri cip kayu dan minyak wangi premium, kemenyan, colok, aroma terapi, kosmetik, kraftangan dan perubatan tradisional.
Peningkatan permintaan gaharu purata empat hingga tujuh peratus setahun. Di China, nilai pasaran cip kayu dan produk gaharu kini mencecah kira-kira RM52 bilion. Nilai tertinggi gaharu kynam China ialah RM6,500 segram. Ini menjadikan kynam dalam senarai lima kayu termahal di republik itu dan digelar berlian dalam kayu.
Pasaran cip kayu dan produk gaharu global pula dianggarkan AS$47.4 bilion manakala minyak dan abstrak gaharu AS$7.8 bilion. Justeru dakwaan bahawa gaharu tiada nilai adalah salah dan persepsi negatif yang disebar untuk menafikan sambutannya.
Nilai pasaran sebesar ini menunjukkan, gaharu bukan lagi sekadar hasil hutan tetapi telah berkembang menjadi komoditi premium bertaraf global. Ini fakta yang sepatutnya membuka mata pemilik tanah terbiar supaya melihat semula potensi aset warisan negara yang selama ini tidak digembleng.
Antara pilihan yang wajar dipertimbangkan ialah meneroka potensi penanaman pokok gaharu MyKynam sebagai pelaburan jangka sederhana dan panjang yang senyap tetapi berbaloi. Ungkapan ini membawa maksud, pokok karas hibrid ini tidak menghasilkan pulangan dalam masa singkat. Namun setiap pohon terus berkembang sebagai aset yang berpotensi memberi nilai tinggi pada masa hadapan.
Penggunaan tanah secara produktif dengan menanam pokok MyKynam turut membantu meningkatkan nilai aset keluarga. Ini mengurangkan pembaziran sumber sambil menambah satu lagi sumber pendapatan yang terjamin. Ini juga boleh dijadikan pelaburan bagi menampung kos sara hidup selepas bersara.
Pada sisi lain, aset berasaskan pokok gaharu seperti MyKynam umpama satu legasi yang boleh diwariskan kepada generasi seterusnya. Bagi syarikat atau pelabur pula, pokok gaharu varieti ini sesuai dijadikan aset yang juga boleh diintegrasi dengan tanaman lain sebagai strategi kepelbagaian pendapatan. Tanah yang produktif juga lazimnya mempunyai nilai ekonomi yang lebih baik berbanding tanah terbiar yang menjadi liabiliti.
Sebagai contoh, harga anak benih gaharu MyKynam bermula lingkungan RM47 sepokok. Jika mempunyai sehektar tanah, seseorang boleh menanam sehingga 4,942 pokok gaharu. Penanaman MyKynam tidak memerlukan pemilik berada di kebun setiap hari. Memadai dengan memastikan penyelenggaraan dan pembajaan anak pokok dilakukan empat kali setahun untuk menjamin tumbesaran.
Menjelang usia 3 tahun, pokok itu boleh dilubangkan untuk menghasilkan resin. Pada usia minimum 4 tahun, sepokok gaharu mampu menghasilkan sehingga 2 kilogram atau lebih teras resin. Harganya antara RM2,000 hingga RM6,000 sekilogram mengikut gred. Untuk itu, anda boleh membuat unjuran potensi nilai berdasarkan bilangan pokok yang ditanam, dengan mengambil kira bahawa hasil sebenar bergantung kepada pengurusan, pembentukan teras yang menentukan kualiti dan kualiti serta keadaan pasaran.
Kualiti teras pokok berusia empat tahun adalah gred C, B (lima tahun), A (enam tahun) dan berstatus premium (melebihi tujuh tahun). Semakin tua pokok gaharu MyKynam, semakin melambung harganya kerana terasnya semakin tebal. Resinnya pula lebih padat manakala aroma lebih kuat. Ini bermakna, bagi setiap pokok gaharu hibrid yang membesar selepas usia empat tahun maka potensi nilainya terus meningkat dari tahun ke tahun.
Kelebihan teras, resin dan aroma gaharu kerana ia boleh bertahan ratusan malah ribuan tahun. Pokok gaharu hibrid juga tidak memerlukan perhatian harian selepas pertumbuhannya stabil mulai pada usia tiga tahun. Varieti ini juga tidak bergantung kepada musim penuaian tahunan.
Ertinya, pokok gaharu MyKynam boleh dituai pada bila-bila masa selepas mencapai tempoh matang mulai usia empat tahun. Gaharu umpama duit yang tumbuh perlahan, tetapi terus membina nilainya selagi pokok itu hidup dan semakin matang.
Kini persoalan pokok yang perlu dituntaskan bukan lagi soal tanah kita mempunyai nilai atau gersang. Tetapi isunya sama ada kita mahu terus membiarkan tanah itu terus ‘mati’ atau segera melaksanakan amalan Ihya’ al-Mawat. Ini kerana sejarah membuktikan, setiap pokok besar bermula daripada sepohon anak benih.
Begitu juga setiap legasi bermula daripada satu keputusan yang bijak. Keputusan itu bermula hari ini bagi mengubah status tanah yang selama ini kita sangka tidak bernilai tetapi menjadi tapak tumbuhnya sebatang pokok emas iaitu gaharu hibrid. Mungkin pada hari ini ia sekadar sebatang anak benih. Namun pada masa hadapan, ia berpotensi menjadi aset yang memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan generasi yang mewarisinya.
Reputasi gaharu tidak dibina dalam tempoh singkat. Nilainya terbentuk hasil sejarah perdagangan yang panjang, permintaan pasaran yang berterusan serta kualiti luar biasa yang diiktiraf sejak berabad-abad lamanya.
PENULIS adalah pengamal media dan perunding komunikasi, penulisan serta penerbitan.










