Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua

PERTUMBUHAN ekonomi yang lebih tinggi akan membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan minat syarikat teknologi antarabangsa untuk mengukuhkan kedudukan di negara ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus dalam anggaran awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan berkata, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2026 disokong peningkatan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang mengalami penyusutan.

“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia bertumbuh 5.6 peratus pada separuh tahun pertama 2026 berbanding 4.5 peratus dalam tempoh yang sama pada 2025.

“Sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku tahun kedua 2026 dengan peningkatan sebanyak 5.4 peratus.

“Pertumbuhan yang stabil ini disokong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.

“Dalam pada itu, sektor pembuatan terus mengukuh kepada 7.5 peratus, didorong oleh industri yang berorientasikan eksport terutamanya pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, prestasi sektor perlombongan dan pengkuarian pula kembali pulih dengan merekodkan peningkatan 10.2 peratus didorong oleh subsektor gas asli.

“Sektor pembinaan tumbuh sederhana dengan kadar 6.6 peratus berbanding peningkatan 7.7 peratus pada suku tahun pertama 2026 disokong oleh subsektor bangunan bukan kediaman bagi projek pembinaan pusat data dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.

“Sementara itu, sektor Pertanian menguncup 3.7 peratus berbanding pertumbuhan 2.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, susulan penurunan dalam semua subsektor kecuali pertanian lain dan ternakan,” katanya.

Dalam pada itu, KDNK preliminari yang menyediakan analisis terperinci dan komprehensif mengenai prestasi ekonomi bagi suku tahun kedua 2026 akan diterbitkan pada 14 Ogos 2026.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, KDNK suku kedua negara dijangka naik kepada 5.6 peratus berbanding 5.4 peratus pada suku pertama disokong penggunaan swasta dan permintaan domestik yang kukuh.

Ujarnya, peningkatan aktiviti pelancongan yang ketara pada suku kedua tahun ini menjadi antara faktor utama yang menyokong pertumbuhan penggunaan swasta.

“Selain penggunaan domestik, prestasi ekonomi turut dipacu oleh pelaburan sektor swasta dan awam yang kekal stabil sepanjang tempoh berkenaan.

“Jika dilihat daripada sudut penggunaan swasta, terdapat dua aspek yang boleh diketengahkan. Pertama, melalui prestasi sektor borong dan runcit yang mencatatkan pertumbuhan baik pada suku pertama tahun ini.

“Selain itu, jualan kenderaan turut menunjukkan tanda-tanda daya tahan ekonomi Malaysia pada suku kedua tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN