Eco-Shop sumbang RM36,000 bantu mangsa kebakaran

Eco-Shop sumbang RM36,000 bantu mangsa kebakaran di Kota Bharu

ECO-SHOP sumbang RM36,000 bantu mangsa kebakaran di Kota Bharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali rangkaian kedai runcit barangan rumah mampu milik terkemuka, Eco-Shop menyumbangkan bantuan kecemasan bernilai lebih RM36,000 bagi meringankan beban keluarga yang terjejas akibat bencana kebakaran di Kampung Gok Kapur, Kota Bharu, Kelantan.

Bantuan tersebut disalurkan bagi menyokong lebih 20 buah keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda selepas kediaman mereka musnah dijilat api dalam kejadian pada 8 Jun lalu.

Pengurus Besar Wilayah Pantai Timur Malaysia Eco-Shop, Patrick Teoh berkata, syarikat berharap sumbangan dalam bentuk bantuan kewangan dan baucar tunai itu dapat menampung keperluan segera mangsa ketika mereka berusaha membina semula kehidupan.

“Di Eco-Shop, kami percaya komuniti akan menjadi lebih kuat apabila semua pihak saling menyokong antara satu sama lain semasa mengharungi waktu sukar.

“Meskipun kami tidak dapat memadamkan kesedihan dan kepayahan yang dialami oleh keluarga terjejas, kami berharap sumbangan ini dapat mengurangkan kebimbangan segera mereka serta memberi semangat untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Majlis penyerahan bantuan tersebut telah diadakan di Masjid Al Ikhsan, menyaksikan Ketua Rukun Tetangga Kampung Gok Kapur, Alias Mamat, menerima replika cek bagi pihak penduduk sebelum wakil Eco-Shop mengagihkan baucar tunai terus kepada keluarga terlibat.

Tambahnya, sebagai syarikat peruncitan yang beroperasi di seluruh negara, Eco-Shop sentiasa komited untuk menghulurkan bantuan di luar sempadan perniagaannya bagi membantu mewujudkan komuniti yang lebih berdaya tahan di Malaysia.

“Kami berharap isyarat kecil ini dapat mengingatkan keluarga di Kampung Gok Kapur bahawa mereka tidak bersendirian dan komuniti sentiasa berdiri teguh bersama mereka sepanjang proses pemulihan ini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN