Eckem tampil di Pasaran ACE pada 12 sen sesaham - Utusan Malaysia

Eckem tampil di Pasaran ACE pada 12 sen sesaham

TAN Khai Jeik (empat dari kanan) semasa gimik paluan gong sempena Majlis Penyenaraian Eckem Holdings di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eckem Holdings Berhad (Eckem Holdings) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad apabila sahamnya dibuka tidak berubah pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 12 sen sesaham dengan dagangan pembukaan berjumlah 12.18 juta saham.

Melalui IPO itu, Eckem Holdings mengumpul hasil kasar RM15 juta daripada penerbitan 125 juta saham baharu.

Daripada jumlah itu, RM6 juta diperuntukkan bagi pembinaan pejabat korporat baharu, gudang dan makmal untuk mengukuhkan infrastruktur operasi, manakala RM2 juta akan digunakan bagi mengembangkan barisan pengeluaran baharu bagi segmen produk getah untuk meningkatkan kapasiti pembuatan.

Selain itu, sebanyak RM1.45 juta diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman bank untuk mengoptimumkan struktur modal kumpulan, RM1.75 juta sebagai modal kerja bagi menyokong operasi perniagaan, manakala baki RM3.80 juta digunakan bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian berkaitan IPO.

Pengarah Eksekutif Eckem Holdings, Tan Khai Jeik berkata, penyenaraian itu merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat syarikat.

“Selama bertahun-tahun, kami telah membina asas kukuh sebagai penyedia penyelesaian kimia perindustrian khusus menerusi bekalan yang boleh dipercayai, formulasi tersuai dan kepakaran teknikal kepada pelanggan.

“Dana yang diperoleh daripada IPO ini akan membolehkan kami mengukuhkan infrastruktur operasi, mengembangkan kapasiti pengeluaran produk getah serta meningkatkan keupayaan dalam memenuhi keperluan sektor pembuatan Malaysia yang sentiasa berkembang,” katanya pada sidang media sempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE, hari ini.

Beliau berkata, hasil IPO itu juga akan digunakan bagi menggandakan kapasiti pembuatan, membina gudang baharu serta menaik taraf kemudahan makmal bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.

“Selain itu, kami akan terus memperluaskan pasaran eksport, khususnya ke Eropah dan Amerika Utara berikutan permintaan yang kekal kukuh terhadap produk teknikal khusus keluaran syarikat di kedua-dua rantau berkenaan,” katanya.

Mengulas cabaran operasi, beliau berkata, ketidaktentuan geopolitik global terus memberi tekanan terhadap harga bahan mentah dan rantaian bekalan, namun syarikat akan terus bekerjasama rapat dengan pelanggan serta pembekal bagi mengekalkan margin keuntungan.

“Industri pembuatan turut berdepan peningkatan kos susulan pelaksanaan gaji minimum dan keperluan pematuhan yang lebih tinggi di Malaysia.

“Bagaimanapun, permintaan berterusan terhadap produk teknikal khusus keluaran Eckem di pasaran eksport seperti Eropah, Amerika Utara dan Australia dijangka mampu mengimbangi tekanan kos berkenaan.

“Sebagai syarikat tersenarai, kami komited mewujudkan nilai mampan kepada pelanggan, rakan niaga dan pemegang saham, di samping merebut peluang pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

M & A Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN