PETALING JAYA: Dasar subsidi dan kawalan harga yang dilaksanakan kerajaan dijangka terus menjadi benteng utama dalam mengekang tekanan inflasi, meskipun Indeks Harga Pengeluar (PPI) Malaysia melonjak kepada 9.2 peratus pada Jun lalu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun angka PPI terkini mencatatkan peningkatan yang tinggi, kesan kenaikan kos kepada pengguna masih berlaku secara berperingkat dan bukannya secara mendadak.
Katanya, penelitian terhadap komponen PPI menunjukkan perpindahan kenaikan harga, khususnya membabitkan bahan api, tidak berlaku secara serentak di sepanjang rantaian bekalan.
“Sebagai contoh, sub indeks harga bahan mentah meningkat pada kadar yang lebih perlahan iaitu 25 peratus pada Jun berbanding 31.5 peratus pada tempoh sebelumnya.
“Bagaimanapun, sub indeks barang pertengahan meningkat kepada 7.4 peratus daripada tiga peratus, manakala subindeks barangan siap naik kepada dua peratus berbanding 1.7 peratus sebelum ini.
“Justeru, perpindahan harga itu berlaku tetapi tidak begitu drastik. Tambahan pula, dasar seperti subsidi dan kawalan harga membantu mengekang kesan inflasi dalam jangka pendek,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, tekanan harga barang banyak bergantung kepada kesinambungan dasar subsidi dan kawalan harga, selain keupayaan syarikat memindahkan kenaikan kos kepada pengguna akhir.
Katanya, kebanyakan peniaga juga berhati-hati untuk menaikkan harga jualan kerana persaingan yang sengit dalam hampir semua industri.
“Setiap industri boleh dikatakan berdepan persaingan yang tinggi. Oleh itu, menaikkan harga jualan lazimnya merupakan pilihan terakhir bagi para peniaga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, amalan seperti penyorokan bekalan, manipulasi harga, kewujudan kartel serta kegiatan mengambil keuntungan secara berlebihan berpotensi meningkatkan lagi tekanan harga dalam pasaran sekiranya tidak dibendung.
Beliau mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.8 peratus, manakala kadar inflasi dijangka berada sekitar 1.8 peratus, mencerminkan jangkaan bahawa tekanan harga masih kekal terkawal hasil langkah-langkah dasar sedia ada.
Dalam pada itu, MBSB Investment Bank Berhad berkata, inflasi masih berdepan risiko kenaikan, khususnya jika gangguan rantaian bekalan global akibat konflik berpanjangan di Asia Barat.
Katanya, kenaikan PPI bagi bulan keempat berturut-turut itu mencerminkan tekanan kos yang semakin memuncak akibat gangguan rantaian bekalan berkaitan konflik tersebut.
“Peningkatan kos di peringkat pengeluar lazimnya mengambil masa sebelum diterjemahkan kepada harga yang dibayar pengguna, sekali gus meningkatkan risiko inflasi jika gangguan bekalan berlarutan.
“Walaupun inflasi pengguna masih kekal terkawal, kenaikan PPI yang lebih ketara menunjukkan tekanan kos semakin meningkat.
“Justeru, prospek inflasi kekal tertakluk kepada risiko kenaikan, khususnya sekiranya gangguan rantaian bekalan global berpanjangan,” ujarnya. – UTUSAN










