Binastra raih kontrak pusat data RM491.2 juta di Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

Binastra raih kontrak pusat data RM491.2 juta di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Binastra Corporation Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn. Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM491.16 juta daripada Exsim Sri Permai Sdn. Bhd. bagi pembangunan sebuah pusat data di Jalan Sri Permaisuri, dekat sini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Binastra berkata, kontrak tersebut merangkumi kerja reka bentuk, pembinaan, penyiapan, pengujian dan pentauliahan, penyelenggaraan serta jaminan secara turnkey bagi pembangunan kemudahan berkenaan.

Katanya, projek itu melibatkan pembinaan sebuah bangunan pusat data setinggi tujuh tingkat, pondok pengawal, bilik sampah dan pencawang elektrik, selain kerja-kerja asas, sub-struktur serta infrastruktur berkaitan.

“Nilai keseluruhan kontrak adalah RM491.16 juta, termasuk jumlah kos utama sementara sebanyak RM16.16 juta tetapi tidak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kerja-kerja pembinaan akan bermula pada 1 Julai 2026 dan dijadualkan siap dalam tempoh 18 bulan,” katanya.

Binastra berkata, kontrak tersebut dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan kepada kumpulan sepanjang dua tahun kewangan akan datang.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 dan 2028,” ujarnya.

Syarikat memaklumkan bahawa penerimaan kontrak berkenaan tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitannya.

Tambahnya, lembaga pengarah Binastra berpandangan penerimaan kontrak tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN