Betamek terima pengiktirafan Tahap 4 Smart Manufacturing - Utusan Malaysia

Betamek terima pengiktirafan Tahap 4 Smart Manufacturing

BETAMEK Berhad perkukuh kedudukan dalam ekosistem elektronik automotif negara apabila meraih kontrak jangka panjang daripada Perodua. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Betamek Berhad (Betamek), pengeluar reka bentuk asal (ODM) dan antara pemain utama dalam pembuatan komponen elektronik bagi sektor automotif dan perindustrian menerima pengiktirafan Tahap 4 Smart Manufacturing di bawah program Industry4WRD Smart Manufacturing Assessment.

Pengiktirafan tersebut diperoleh oleh anak syarikat milik penuhnya, Betamek Electronics (M) Sdn. Bhd. (BESB) pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah Auto-SMART hari ini atas kemajuan BESB dalam mengguna pakai teknologi pembuatan termaju, inisiatif pendigitalan serta amalan pembuatan pintar di seluruh operasinya.

Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, pencapaian pengiktirafan Tahap 4 Smart Manufacturing merupakan satu mercu tanda penting bagi Betamek dan mencerminkan usaha kolektif seluruh pasukan dalam menghayati transformasi digital merentasi operasi syarikat.

“Ketika industri automotif terus berkembang, kecemerlangan pembuatan, automasi dan pembuatan keputusan berasaskan data semakin menjadi kelebihan daya saing yang penting.

“Pencapaian ini turut mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh perjalanan transformasi digital serta mengintegrasikan amalan pembuatan pintar ke seluruh operasi kami.

“Memandangkan sektor automotif dan perindustrian terus berubah, kami kekal komited memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan ketangkasan operasi, menyokong pertumbuhan pelanggan dan membina asas yang lebih kukuh untuk penciptaan nilai mampan dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan di Bursa Malaysia.

Betamek berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan Betamek untuk meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh daya saing pembuatan serta menyokong agenda Industri 4.0 Malaysia.

Jelasnya, menerusi pelaburan berterusan dalam automasi, sistem digital dan pengoptimuman proses, kumpulan telah meningkatkan keupayaan pembuatannya secara konsisten bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang dalam sektor elektronik automotif.

“Sebagai pengeluar elektronik automotif terkemuka, Betamek giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan produktiviti, kawalan kualiti dan keterlihatan rantaian bekalan.
“Usaha ini menyokong matlamat kumpulan untuk mengekalkan standard operasi yang tinggi di samping memperkukuh keupayaannya menyediakan penyelesaian yang inovatif serta kos efektif kepada pelanggan,” ujarnya.

Betamek berkata, kumpulan percaya pembuatan pintar akan terus memainkan peranan yang semakin penting dalam menyokong pelan pertumbuhan masa depannya, khususnya apabila elektronik automotif menjadi semakin canggih dan semakin terintegrasi dalam platform kenderaan generasi baharu.

“Seiring dengan itu, kumpulan akan terus memperluaskan inisiatif Industri 4.0 melalui penggunaan teknologi pembuatan termaju, automasi proses dan integrasi digital bagi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam ekosistem elektronik automotif,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN