PETALING JAYA: UOB Malaysia menyasarkan untuk menggandakan asas segmen pelanggan mewahnya menjelang 2028 menerusi pengukuhan tawaran pengurusan kekayaan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin canggih.
Langkah itu sejajar dengan peningkatan tahap pendapatan, kecanggihan kewangan yang lebih tinggi serta jangkaan pelanggan yang terus berkembang.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi Negara UOB Malaysia, Elaine Fan berkata, budaya pelaburan di Malaysia berkembang pesat, namun masih wujud jurang ketara antara keperluan pelanggan dan perkhidmatan yang lazimnya ditawarkan oleh model perbankan tradisional.
“UOB komited merapatkan jurang tersebut dengan memperkukuh hubungan bersama pelanggan serta menyediakan khidmat nasihat yang bersesuaian ketika mereka beralih kepada strategi pengurusan kekayaan jangka panjang yang lebih pelbagai.
“Tawaran Privilege Banking yang dipertingkatkan ini berteraskan hubungan yang dipercayai dan dipacu khidmat nasihat, disokong oleh rangkaian serantau serta kepakaran pelaburan kami yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Laporan Kekayaan Global 2026 oleh Kumpulan Perundingan Boston (BCG), segmen pelanggan mewah dan individu bernilai bersih tinggi (HNW) berkembang pesat di pasaran seperti Malaysia, namun masih kurang mendapat akses kepada khidmat nasihat dan sokongan kewangan yang komprehensif.
Laporan itu turut menunjukkan sebahagian besar kekayaan masih tertumpu dalam deposit, mencerminkan akses yang terhad kepada penyelesaian pelaburan berasaskan khidmat nasihat.
Dengan memanfaatkan kesalinghubungan ASEAN yang kukuh, UOB berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi keperluan segmen tersebut, disokong aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah S$210 bilion (RM653 bilion) merentas perniagaan perbankan runcitnya.
Elaine berkata, di Malaysia, UOB merekodkan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan pengurusan kekayaan apabila AUM yang dilaburkan meningkat 30 peratus sejak 2024.
Menurutnya, prestasi itu didorong terutamanya oleh permintaan terhadap penyelesaian pendapatan tetap yang mantap, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan khidmat nasihat kekayaan bank yang berdisiplin.
“Pada masa sama, semakin ramai pelanggan mewah UOB mengalihkan sebahagian besar simpanan dan aset boleh labur mereka ke dalam produk pelaburan, mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan bank membantu melindungi dan mengembangkan kekayaan melalui pendekatan berasaskan portfolio,” ujarnya.
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap khidmat nasihat berfokuskan portfolio serta akses kepada pelbagai peluang pelaburan, UOB Malaysia memperkukuh tawaran Privilege Banking berasaskan tiga tonggak utama.
“Tonggak ini merangkumi khidmat nasihat kekayaan berteraskan nilai yang disokong pandangan pakar daripada Pejabat Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) UOB Private Bank, bimbingan kewangan yang disediakan secara berpusat serta keutamaan kepada manfaat gaya hidup dan kesihatan.
“Selain akses eksklusif ke acara hiburan tajaan UOB di seluruh rantau, tawaran itu turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan Rondo Production dan Sunway Healthcare Group.
“Kerjasama dengan Rondo Production menyokong program Generasi Akan Datang UOB melalui pendidikan muzik klasik yang berstruktur, manakala kerjasama dengan Sunway Healthcare memberi tumpuan kepada aspek kesihatan dan kesejahteraan pelanggan,” jelasnya.
Melalui tawaran yang dipertingkatkan itu, pelanggan UOB Privilege Banking bersama seorang tetamu akan menikmati diskaun 30 peratus bagi pakej saringan kesihatan terpilih di Pusat Perubatan Sunway di Sunway City, Velocity, Damansara, Ipoh dan Pulau Pinang sehingga 31 Julai 2026. – UTUSAN










