PETALING JAYA: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) menyumbang RM5 juta bagi pembangunan Masjid Taman Batu Tiga, Subang Jaya, dekat sini yang akan dibina di atas tanah seluas 0.51 hektar dan mampu menampung sehingga 2,000 jemaah.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Tropicana Metropark dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Batu Tiga (ProTEM).
Pengarah Eksekutif Perhubungan Pihak Berkuasa Tropicana, Shahril Salam berkata, sumbangan tersebut mencerminkan sokongan berterusan syarikat terhadap usaha PWS dan Jawatankuasa ProTEM dalam memperkukuh pembangunan komuniti, selaras dengan komitmen kumpulan terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Masjid ini dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat serta kawasan sekitar, sekali gus menggalakkan perpaduan sosial, kesejahteraan rohani dan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk.
“Ini mencerminkan komitmen berterusan Tropicana dalam mewujudkan komuniti yang mampan, inklusif dan berkembang maju untuk generasi masa kini serta akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Shahril berkata, sejak 2013, Tropicana Metropark dirancang sebagai sebuah perbandaran mampan yang mempunyai jaringan perhubungan yang baik sebelum berkembang menjadi hab komuniti dinamik di Subang Jaya.
“Pembangunan ini mempunyai sambungan strategik ke Lebuhraya Persekutuan menerusi sebuah jambatan khas serta menawarkan gabungan seimbang komponen kediaman, komersial, pendidikan dan rekreasi.
“Ia turut berteraskan taman bandar seluas 3.72 hektar yang menjadi elemen utama pembangunan komuniti,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi PWS, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen PWS sebagai organisasi yang strategik, mampan dan berkesan dalam menyokong pembangunan sosioekonomi negara serta kesejahteraan umat Islam.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Tropicana dalam menjayakan pembangunan masjid ini.
“Inisiatif ini akan menyediakan kemudahan yang bernilai kepada komuniti Subang Jaya, di samping memperkukuh perpaduan sosial dan menggalakkan penglibatan komuniti yang lebih aktif.
“Bersama-sama, kita dapat terus mencipta impak sosial yang positif serta meningkatkan kualiti hidup generasi masa kini dan akan datang,” katanya. – UTUSAN










