KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) terpasang sebanyak 4.3 gigawatt (GW) tahun lalu, menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah kapasiti tenaga boleh diperbaharui negara.
Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, pelaburan berskala besar itu bertujuan memodenkan grid nasional, menaik taraf infrastruktur serta mempercepatkan peralihan kepada sistem tenaga bersih.
“Penaiktarafan ini juga termasuk memperluas kemudahan sambungan grid untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat daripada pusat data.
“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air katas komitmen pelaburan RM43 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) untuk memodenkan grid negara,” katanya pada pelancaran Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini semalam.
Menurut beliau, TNB terus memperkukuh agenda peralihan tenaga negara menerusi pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga yang memberi tumpuan kepada pemacu utama bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga hijau.
Ujarnya, di peringkat serantau, TNB terus memainkan peranan penting dalam inisiatif Grid Kuasa ASEAN.
“Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) berjaya menggandakan kapasiti dagangan tenaga rentas sempadan daripada 100 megawatt (MW) kepada 200MW tahun ini.
“Selain itu, syarikat itu turut terlibat dalam usaha memperluas kesalinghubungan tenaga menerusi projek Vietnam-Malaysia-Singapura, cadangan sambungan kedua Malaysia-Singapura serta interkoneksi Sarawak-Semenanjung Malaysia,” katanya.
Abdul Razak berkata, dalam aspek pembangunan modal insan, Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) yang dilancarkan pada 2023 kini berkembang menjadi agenda nasional dan modul pembelajaran penting di institusi pengajian tinggi.
Ujarnya, pada masa sama, penyelesaian solar yang ditawarkan anak syarikat TNB, GSPARX, mencatat kapasiti pemasangan sebanyak 224MW, mencerminkan peningkatan penerimaan sistem solar bumbung dalam kalangan pengguna domestik.
“Peralihan tenaga turut didorong oleh pertumbuhan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
“Bagi menyokong perkembangan tersebut, TNB memperkenalkan inisiatif EV Green Lane yang mempercepatkan proses sambungan bekalan elektrik untuk stesen pengecasan EV.
“Sehingga kini, sebanyak 264 titik pengecasan EV telah dipasang di seluruh negara bagi meningkatkan kemudahan pengguna serta mengurangkan kebimbangan terhadap jarak perjalanan,” katanya.
Tambahnya, pencapaian ini menunjukkan kemajuan signifikan sejak penganjuran ETCon 2023.
“ETCon 2026 pula dijangka menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara pemain industri, kerajaan dan pelabur dalam merealisasikan projek tenaga bersih yang mampan dan berskala besar,” katanya. -UTUSAN










