LONJAKAN kos operasi dalam sektor peruncitan tempatan yang berpanjangan kini mula memberi tekanan kepada margin perniagaan, termasuk syarikat-syarikat tempatan yang bergantung kepada kestabilan tenaga kerja, rantaian bekalan dan kuasa beli domestik.
Trend peningkatan kos buruh dan logistik bukan sahaja meningkatkan risiko terhadap kelestarian perniagaan, malah mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi, kecekapan inventori serta ketidaktentuan ekosistem runcit yang boleh memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
Dalam keadaan pasaran dunia yang semakin tidak menentu, beberapa pemain industri gergasi mula mengambil langkah untuk memperkukuh daya tahan operasi masing-masing menerusi integrasi teknologi, transformasi digital dan pengukuhan tadbir urus data.
Pengarah Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Malik Murad Ali berkata, pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) memberi pulangan besar kepada perniagaan runcit terutamanya melalui pengoptimuman rantaian bekalan, penjimatan kos dan peningkatan produktiviti tenaga kerja.
Menurut beliau, pengenalan aplikasi digital pasca-pandemik telah mengubah landskap industri secara drastik apabila pengguna merentas generasi kini menuntut pengalaman membeli-belah yang lebih pantas dan responsif.
“AI berfungsi sebagai alat utama yang membolehkan perniagaan runcit berkembang dan meningkatkan produktiviti. Teknologi ini membantu kami mengoptimumkan rantaian bekalan bagi mendapatkan penjimatan kecil sekitar satu hingga dua peratus yang amat bermakna kepada margin keseluruhan,” katanya semasa sesi Meja Bulat Media: Kesan AI pada Margin Runcit & Tekanan Kos baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pasaran runcit tempatan turut berdepan cabaran apabila kos pengambilan pekerja meningkat akibat persekitaran pasaran yang kompetitif dan perubahan dinamik tabiat pengguna muda.
Namun begitu, beliau melihat krisis kos semasa sebagai peluang untuk sektor runcit mempercepatkan pembaharuan struktur operasi khususnya dalam aspek pengambilan bakat dan pengurusan stor fizikal.
“Kami menggunakan AI dalam proses saringan awal pengambilan pekerja bagi melonjakkan tahap produktiviti rantaian bakat. Jika dahulu seorang perekrut hanya mampu menemuduga dua atau tiga calon sehari, kini kami boleh menapis sehingga 100 calon sehari,” katanya.
Selain bakat, Mydin turut menekankan kepentingan automasi fizikal di pusat pengedaran apabila kos buruh asing semakin meningkat dan melibatkan tugasan berat.
“Penggunaan robotik membolehkan sistem barangan kepada pekerja (G2P) dilaksanakan. Pekerja berusia 50 tahun ke atas tidak perlu lagi berjalan 30,000 langkah sehari untuk mengutip barang, sekali gus menjadikan tugasan lebih selamat dan mudah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Aeon360 Sdn Bhd, Low Ngai Yuen berkata, syarikat itu mengambil pendekatan menyeluruh untuk mengurangkan impak ketidaktentuan pasaran melalui penyatuan data raya dan pemodenan perkhidmatan pelanggan.
Menurut beliau, Aeon360 kini berperanan mengintegrasikan aliran maklumat daripada belasan entiti syarikat di bawah kumpulan Aeon di Malaysia termasuk sektor kredit, pengurusan pusat beli-belah, pasar raya, logistik dan kesihatan.
Katanya, strategi tersebut membantu Aeon membina ekosistem data yang lebih terbuka, bersepadu dan berdaya tahan bagi mengenali keperluan pelanggan secara menyeluruh.
“Data merupakan ‘bahan api’ utama untuk AI. Kalau pengurusan data awal tidak dilakukan dengan betul, maka tiada sumber intelijen yang boleh digunakan oleh mesin untuk beroperasi.
“Kita tidak boleh mengawal perubahan luaran, tetapi kita boleh mengawal tahap kesediaan sistem dalaman kita untuk mendepani risiko tersebut,” katanya.
Beliau berkata, Aeon360 turut melaksanakan mekanisme automasi melalui ejen AI generatif bagi mengurangkan beban tugasan pentadbiran dan pengurusan emel kakitangan sehingga separuh daripada waktu asal.
Dalam masa sama, syarikat itu mempercepatkan latihan kemahiran berfikir secara kritis dalam kalangan pekerja bagi membolehkan mereka membuat keputusan strategik menggunakan data masa nyata.
“Tenaga kerja tidak boleh terus bergerak secara reaktif untuk menyemak data sejarah dalam helaian Excel. Kita perlu bertindak secara strategik dengan menggunakan masa yang dijimatkan untuk memacu kemajuan kerjaya,” katanya.
Mengulas mengenai profil pelanggan masa kini, Low berkata, corak perbelanjaan pengguna kini menjadi lebih kompleks dan tidak lagi boleh dikategorikan menggunakan kaedah demografi tradisional semata-mata.
Menurut beliau, syarikat runcit yang bergantung kepada unjuran data lama amat terdedah kepada risiko kehilangan pelanggan kerana gagal memahami fasa kehidupan individu yang dinamik.
“Katakan dalam satu bilik penuh dengan individu berusia 26 tahun, keperluan mereka tetap berbeza, ada yang baru memulakan kerjaya pertama, ada yang sudah mempunyai anak kedua dan ada yang memilih untuk tidak berkahwin.
“Sebab itu penting untuk kita faham fasa kehidupan pelanggan, rantaian bekalan dan bakul pembelian mereka bagi mengelakkan pembaziran inventori pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara paling membimbangkan ketika ini ialah kekurangan kemahiran bertanya soalan yang betul (prompting) dan berlapis kepada sistem AI bagi menyelesaikan masalah perniagaan.
“Kemahiran AI yang sebenar bukanlah keupayaan teknikal semata-mata. Pekerja perlu tahu bagaimana menggunakan intelijen luaran ini untuk merancang pelan sandaran rantaian bekalan dan mengurus kos organisasi,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya pasaran tidak bersedia menjajarkan semula cara berfikir, jurang kecekapan operasi antara syarikat runcit tempatan dan rantaian global akan menjadi semakin besar.
“Jika rantaian data tidak diperkukuh, tekanan kos operasi kepada organisasi dan kos sara hidup rakyat yang berbelanja di stor kami akan menjadi lebih mencabar,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa sektor peruncitan Malaysia masih mempunyai potensi besar untuk kekal kompetitif sekiranya agensi latihan dan penyedia teknologi dapat memperkukuh ekosistem secara bersama.
Antara langkah yang dilihat semakin penting ketika ini termasuk penjimatan masa operasi melalui automasi, pengukuhan pengurusan data raya, pembangunan ejen digital serta peningkatan daya tahan tenaga kerja tempatan.
Tekanan kos semasa menjadi peringatan bahawa syarikat peruncitan tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada satu model operasi, satu kaedah pengurusan data atau satu pasaran tradisional semata-mata.
Sebaliknya, industri ini perlu mempercepatkan reformasi struktur operasi dan membina sistem yang lebih fleksibel, lestari dan tahan krisis bagi menghadapi ketidaktentuan landskap ekonomi yang dijangka terus berulang pada masa hadapan.-UTUSAN










