PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), sebuah usaha sama antara MMC Ports dan APM Terminals berkerjasama dengan Siemens, penyedia teknologi dalam inisiatif rintis berstruktur, program pembangunan keupayaan dan ujian integrasi teknologi operasi yang direka untuk meningkatkan prestasi pelabuhan.
Memorandum persefahaman (MoU) tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Tindaro Danze.
Menurut kenyataannya, perkongsian strategik ini menggabungkan operasi pelabuhan berskala besar PTP dengan kepakaran Siemens dalam pendigitalan industri, automasi dan infrastruktur pintar, yang bertujuan untuk mempercepatkan penggunaan teknologi generasi akan datang seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan penyelenggaraan ramalan.
Katanya, kerjasama ini menumpukan kepada keupayaan tenaga kerja dan latihan teknikal untuk menyediakan kakitangan bagi persekitaran hibrid manusia-automasi, di samping melaksanakan projek-projek rintis, seperti penjejakan aset pintar dan pengoptimuman tenaga untuk menilai kebolehskalaan serta pulangan pelaburan dalam persekitaran pelabuhan sebenar.
Selain itu, perkongsian ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehpercayaan peralatan melalui strategi kitaran hayat aset bersepadu dan rangka kerja sokongan tahap perkhidmatan yang dipertingkatkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MMC Port Holdings Berhad, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, perkongsian ini merupakan tunjang kepada komitmen PTP untuk terus menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada rakan niaga dan pelanggan globalnya.
“Melalui kolaborasi menggunakan teknologi termaju Siemens, kami boleh memastikan PTP kekal di barisan hadapan dalam inovasi logistik, sekali gus menyediakan kebolehpercayaan, kepantasan dan kecekapan yang diperlukan oleh pelanggan kami dalam persekitaran perdagangan yang semakin kompleks.
“Inisiatif ini dibina secara langsung berdasarkan pencapaian kami baru-baru ini dengan PTP secara konsisten memecahkan rekod jumlah kendalian kontena dan mengekalkan kecemerlangan operasi.
“Dengan melabur dalam infrastruktur digital ini hari ini, kami menjamin masa depan yang lebih berdaya tahan dan berprestasi tinggi untuk keseluruhan rangkaian rantaian bekalan yang kami sokong,” katanya.
Sementara itu, Mark berkata, kerjasama dengan Siemens ini menyokong cita-cita PTP untuk meningkatkan kecekapan dan daya tahan terminal melalui teknologi gunaan.
“Dengan menguji dan menggunakan penyelesaian digital dalam persekitaran operasi sebenar, kami dapat menyediakan pelabuhan dengan lebih baik untuk pertumbuhan perdagangan masa depan dan keperluan pelanggan yang semakin berubah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tindaro berkata, Asia Tenggara terus menyaksikan pertumbuhan yang kukuh dalam perdagangan dan kerumitan logistik.
“Melalui kerjasama dengan PTP ini, Siemens bergerak melangkaui perbincangan konsep kepada penyelesaian digital gunaan yang menyokong kecekapan operasi, kebolehpercayaan, dan transformasi tenaga kerja dalam persekitaran pelabuhan,” jelasnya. – UTUSAN










