PETALING JAYA: Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) bersama UOB Malaysia melancarkan PRUPrime Gain, pelan simpanan yang direka bagi membantu pelanggan mengekalkan kekayaan, di samping mengembangkan aset menerusi pendekatan pelaburan yang lebih berstruktur.
Pelan itu memenuhi dua keutamaan utama pelanggan iaitu melindungi kekayaan yang telah dibina sambil terus mengembangkan nilai aset dari semasa ke semasa.
Ketua Pegawai Pelanggan, Pemasaran dan Produk PAMB, Chee Foong Wai berkata, PRUPrime Gain direka khusus untuk individu yang ingin mengumpul kekayaan dengan lebih yakin sambil memanfaatkan peluang pertumbuhan melalui pelaburan berterusan.
“Produk ini mencerminkan perubahan dalam cara pelanggan membuat keputusan kewangan, dengan penekanan kepada keseimbangan antara kepastian dan pertumbuhan.
“Pelanggan hari ini juga mencari penyelesaian yang membantu mereka mengurus ketidaktentuan ekonomi tanpa menjejaskan matlamat kewangan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Seiring peningkatan tahap celik kewangan, pelanggan kini semakin teliti dalam merancang kewangan dan cenderung memilih pendekatan pelaburan yang lebih tersusun tanpa mengabaikan aspek pengekalan kekayaan.
Jangka hayat yang semakin panjang turut meningkatkan keperluan untuk memastikan simpanan mampu menampung keperluan kewangan jangka panjang, sekali gus menjadi antara faktor utama pembangunan PRUPrime Gain.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Elaine Fan berkata, pihaknya melihat semakin ramai pelanggan mengamalkan perancangan kewangan yang lebih teliti dengan memberi penekanan sama rata terhadap pengekalan dan pertumbuhan kekayaan.
“PRUPrime Gain mencerminkan perubahan tersebut dengan menawarkan penyelesaian yang menggabungkan kestabilan dan potensi pertumbuhan pulangan dari semasa ke semasa.
“Melalui kerjasama dengan Prudential, kami kekal komited menyediakan penyelesaian kewangan yang mudah diakses dan distrukturkan dengan baik bagi menyokong matlamat kewangan jangka panjang pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perkongsian PAMB, Eric Wong berkata, kerjasama antara Prudential dan UOB Malaysia terus berkembang seiring perubahan keperluan pelanggan sepanjang 15 tahun lalu.
“Sempena ulang tahun ke-15 kerjasama ini, kami terus komited menawarkan penyelesaian yang memenuhi keperluan pelanggan.
“PRUPrime Gain menggabungkan kepakaran Prudential dalam perlindungan dan perancangan kewangan jangka panjang dengan kekuatan rangkaian perbankan UOB bagi membantu pelanggan merancang masa depan kewangan mereka secara lebih seimbang,” katanya.
Dengan komitmen jangka pendek, pelan itu menawarkan manfaat kemandirian dan kematangan terjamin sekurang-kurangnya 100 peratus daripada jumlah premium yang dibayar, selain bonus kesetiaan tahunan bagi menyokong pengumpulan kekayaan dalam jangka panjang.
Sebahagian daripada premium yang dibayar akan diperuntukkan ke dalam PRULink Equity Index Fund yang menjejaki indeks ekuiti global, sekali gus memberikan pendedahan kepada portfolio pelaburan global yang pelbagai.
Pelanggan juga boleh menikmati proses pendaftaran yang lebih mudah menerusi Tawaran Penerimaan Terjamin (GIO) dengan had premium tahunan sehingga RM1 juta.
Prudential Assurance Malaysia Berhad dan UOB Malaysia kekal komited menyediakan penyelesaian dalam aspek pengekalan kekayaan, pengumpulan kekayaan, perlindungan serta perancangan kewangan yang memenuhi keperluan pelanggan pada setiap peringkat kehidupan. – UTUSAN










