PNB catat agihan tertinggi RM15.3 bilion kepada pemegang unit ASB - Utusan Malaysia

PNB catat agihan tertinggi RM15.3 bilion kepada pemegang unit ASB

RAJA TAN SRI ARSHAD RAJA TUN UDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencatatkan agihan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM15.3 bilion kepada 11.4 juta pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dipacu prestasi pelaburan yang berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Pencapaian agihan itu berjalan seiring dengan pertumbuhan berterusan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) yang meningkat kepada RM366.5 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan PNB.

Menurut Laporan Bersepadu 2025 (IR 2025), pencapaian PNB dicapai ketika pasaran global berdepan pelbagai cabaran termasuk ketegangan perdagangan, ketidaktentuan geopolitik dan pelonggaran dasar monetari yang dilakukan secara berhati-hati oleh bank pusat utama dunia.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, sebagai sebuah institusi pelaburan, mandat yang dipikul oleh PNB adalah melangkaui pulangan kewangan semata-mata.

“Ia berteraskan usaha membina daya tahan, meningkatkan kesejahteraan hidup dan memastikan rakyat Malaysia merentas generasi menikmati kemakmuran yang mampan.

“Dana utama ASB mengisytiharkan dividen sebanyak 5.75 sen seunit, hasil sokongan strategi kepelbagaian yang berdisiplin merangkumi ekuiti, pendapatan tetap, kredit swasta dan pasaran global,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Pemangku Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, tahun 2025 merupakan tahun pelaksanaan penting di bawah perjalanan transformasi LEAP-6 syarikat.

“Pertumbuhan AUM bukan sahaja mencerminkan kekuatan kewangan, tetapi juga keberkesanan pendekatan berfokuskan pelanggan serta strategi pelaburan yang berdisiplin.

“Ia membawa organisasi lebih hampir kepada sasaran LEAP-6 kami iaitu sebanyak RM400 bilion menjelang tahun 2027,” katanya. 

Bagi landskap pasaran domestik, PNB terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh Korporat Malaysia dengan menyumbang kepada usaha meningkatkan permodalan pasaran sebanyak RM100 bilion dalam tempoh lima tahun melalui kerjasama bersepadu antara Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Laporan tersebut turut menyoroti perkembangan struktur utama melibatkan penyatuan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) di bawah PNB. 

Langkah itu dijangka memperkukuh keupayaan syarikat dalam membangunkan perusahaan Bumiputera daripada fasa pra-penyenaraian sehinggalah pasca-penyenaraian.

Komitmen itu diperkukuh lagi melalui penglibatan aktif PNB dalam Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) serta inisiatif 10 Juara Bumiputera bagi memupuk pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Di peringkat akar umbi, PNB meluaskan program literasi kewangan melalui inisiatif Celik MADANI, yang berjaya menarik penyertaan lebih 200,000 pelajar setakat tahun ini.

Menerusi Laporan Bersepadu 2025, PNB turut mengumumkan pencapaian penting dalam agenda kelestariannya apabila berjaya mencapai pelepasan sifar bersih bagi Skop 1 dan Skop 2 pada 2025.

Selain komitmen alam sekitar, PNB turut memperuntukkan RM100 miilion bagi inisiatif impak sosial merangkumi pendidikan, bantuan banjir dan pemerkasaan komuniti akar umbi.

Melangkah ke hadapan, Rizal berkata, PNB akan memberikan tumpuan untuk mengekalkan momentum ini sambil kekal peka terhadap persekitaran luaran yang semakin kompleks dan berubah-ubah.

“Prospek global terus dipengaruhi oleh ketegangan yang meningkat serta ketidaktentuan makroekonomi. Khususnya, peningkatan konflik di Asia Barat telah menambah tekanan kepada landskap geopolitik yang sedia rapuh, mengganggu rantaian bekalan, menjejaskan aliran tenaga, serta meningkatkan ketidaktentuan harga tenaga global.

“Perkembangan ini dijangka memberi kesan rantaian kepada pertumbuhan global dan pasaran modal. 

“Namun, usaha di peringkat portfolio dan organisasi meletakkan PNB pada kedudukan kukuh untuk menghadapi cabaran jangka pendek sambil terus menyampaikan nilai mampan kepada pemegang unit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN