PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan My Brighter Green Initiative (MBGI) 2026, iaitu program pemuliharaan alam sekitar yang melibatkan penanaman 40,000 anak pokok hutan dan bakau di enam lokasi seluruh negara dengan peruntukan RM800,000.
Inisiatif itu bertujuan menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti, memperkukuh daya tahan iklim serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Program tersebut disertai kira-kira 150 peserta terdiri daripada warga kerja TNB, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta pihak berkepentingan.
Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, MBGI 2026 mencerminkan komitmen berterusan syarikat utiliti itu dalam menterjemahkan agenda kelestarian kepada tindakan yang memberi impak nyata kepada rakyat dan alam sekitar.
“Melalui MBGI 2026, TNB akan menanam 40,000 pokok di enam lokasi strategik seluruh negara yang dijangka menyerap 67 tan setara karbon dioksida (tCO₂e) setahun.
“Ini bersamaan kira-kira perjalanan sejauh 249,100 kilometer oleh sebuah kereta petrol atau penggunaan elektrik hampir 13 buah rumah dalam tempoh setahun, selain memperkukuh pemulihan ekosistem untuk manfaat jangka panjang komuniti.
“Inisiatif ini turut menyokong agenda peralihan tenaga negara serta aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.
Secara keseluruhan, program itu melibatkan kira-kira 1,000 sukarelawan merangkumi aktiviti penanaman, pemantauan dan penyelenggaraan pokok bagi memastikan keberkesanan pemulihan ekosistem pesisir.
Program berkenaan dilaksanakan di Kubang Badak, Langkawi sebagai lokasi pertama, selain Tanjung Burung (Perak), Tanjung Tuan (Melaka), Jimah (Negeri Sembilan), Nibong Tebal (Pulau Pinang) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Selangor.
Sebagai lokasi pertama, Kubang Badak menyaksikan penanaman 10,000 anak pokok bakau melalui kerjasama strategik antara TNB dan Malaysian Nature Society (MNS).
Pemilihan lokasi itu dibuat berdasarkan kepentingannya sebagai kawasan ekosistem bakau yang kaya biodiversiti serta berfungsi sebagai benteng semula jadi terhadap hakisan pantai dan cuaca ekstrem.
Spesies yang ditanam ialah Rhizophora apiculata dan Rhizophora mucronata yang berperanan sebagai benteng semula jadi hakisan pantai, habitat hidupan marin serta penyerap dan penyimpan karbon.
Menurut Abdul Razak, MBGI 2026 meneruskan legasi program penghijauan TNB sejak 2007 melalui kerjasama dengan NGO, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.
“Bagi memastikan impak jangka panjang, MBGI 2026 turut merangkumi pemantauan dan penyelenggaraan pokok sehingga dua tahun selepas penanaman bagi meningkatkan kadar kelangsungan hidup pokok.
“MBGI merupakan sebahagian daripada komitmen CSR TNB yang lebih menyeluruh, dengan perbelanjaan lebih RM232.3 juta bagi program komuniti pada Tahun Kewangan 2025 merangkumi pendidikan, sukan, kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar,” katanya.
Selain penanaman pokok, TNB turut melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti setempat dengan jmlah keseluruhan sumbangan melebihi RM170,000.
Ia termasuk pembinaan telaga air di Jeti Nelayan Kubang Badak, sumbangan kepada Masjid Kampung Ewa, penyediaan peralatan pembelajaran pintar kepada Sekolah Kebangsaan Ewa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hangat, serta pembinaan rumah di bawah Projek Baiti Jannati TNB untuk keluarga asnaf di Kampung Mawat. – UTUSAN










