PKS utamakan daya tahan operasi susulan tekanan kos - Utusan Malaysia

PKS utamakan daya tahan operasi susulan tekanan kos

NG WEI WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia mengubah strategi perniagaan dengan mengutamakan daya tahan operasi serta pengurusan kos tenaga berbanding pertumbuhan agresif susulan tekanan kos yang berterusan, menurut Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026.

Kajian itu mendapati 77 peratus PKS masih mengekalkan tinjauan perniagaan yang positif tahun ini, namun keyakinan dalam kalangan syarikat lebih kecil adalah lebih sederhana berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Kajian itu turut menunjukkan hampir tiga daripada 10 PKS terus berdepan tekanan akibat peningkatan perbelanjaan operasi, kos tenaga kerja yang tinggi dan kenaikan kadar faedah, sekali gus mendorong peralihan ke arah strategi pengurusan kos yang lebih ketat.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, tekanan kos, termasuk kos tenaga dan bahan api, terus membebani kebanyakan perniagaan.

“Pengurusan tenaga telah menjadi keutamaan praktikal, terutamanya bagi perusahaan sederhana yang berada dalam kedudukan lebih baik untuk melaksanakan inisiatif kecekapan.

“Ini disokong oleh penyelesaian khusus sektor yang memenuhi keperluan operasi mereka.

“Bagi syarikat lebih kecil yang menghadapi kekangan kewangan yang lebih ketat, inisiatif seperti Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS Bank Negara Malaysia (BNM), dilengkapi dengan bantuan daripada UOB, membolehkan kami menyediakan sokongan yang praktikal dan tepat pada masanya.

“Sokongan ini tertumpu pada membantu pelanggan PKS mengurus tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi dan mengharungi keadaan pasaran yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya telah memperkukuh sokongan pembiayaan melalui Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM bagi membantu perniagaan mengurus cabaran aliran tunai dan mengekalkan operasi dalam keadaan pasaran yang sentiasa berubah, termasuk gangguan luaran.

“Komitmen ini turut merangkumi penyediaan bantuan menyeluruh serta penyelesaian kewangan bagi menyokong PKS membina daya tahan jangka panjang dan mengharungi ketidaktentuan.

“Seiring tekanan kos yang berterusan, pengurusan tenaga muncul sebagai bidang tumpuan utama apabila kira-kira tiga daripada empat perniagaan menganggap pengurusan dan kecekapan tenaga sebagai aspek penting dalam operasi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 84 peratus perniagaan dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan perindustrian memberi keutamaan kepada pengurusan dan kecekapan tenaga.

Keutamaan lain termasuk mengurangkan penggunaan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus)dan memastikan terdapat bekalan tenaga yang stabil serta boleh dipercayai untuk operasi mereka (40 peratus).

Sementara itu, kira-kira dua daripada lima perniagaan telah melaksanakan pemasangan panel solar serta penggunaan pencahayaan cekap tenaga dan LED, didorong oleh kelebihan yang nyata dalam mengurangkan penggunaan tenaga.

Selain itu, PKS turut menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap alat digital untuk membantu meningkatkan kecekapan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus) dan memastikan bekalan tenaga yang stabil bagi operasi harian (40 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN