PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan jualan bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut di Bursa Malaysia dengan merekodkan aliran keluar sebanyak RM554.7 juta minggu lalu, sekali gus mencerminkan sentimen berhati-hati berterusan dalam kalangan pelabur global.
Menurut MBSB Research, tekanan jualan yang berpanjangan ini menggambarkan nada “risk-off” di pasaran serantau, didorong oleh kebimbangan terhadap inflasi Amerika Syarikat yang masih berlarutan serta perubahan jangkaan terhadap kadar faedah global.
“Di peringkat pasaran ekuiti Asia dan global yang lebih luas, aliran dana kekal lemah apabila pelabur menstruktur semula portfolio masing-masing susulan ketidaktentuan yang meningkat.
“Daripada lapan pasaran yang dipantau, hanya India mencatatkan kemasukan dana asing, manakala Taiwan, Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam merekodkan aliran keluar modal asing,” katanya dalam nota penyelidikan.
Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing kembali menjadi penjual bersih selepas hanya seminggu mencatatkan aliran masuk, dengan jumlah aliran keluar mencecah kira-kira AS$21.1 bilion di pasaran utama Asia.
Dalam pada itu, prestasi pasaran turut bercampur-campur apabila hanya lima daripada 20 indeks utama ditutup lebih tinggi pada minggu tersebut.
Vietnam Ho Chi Minh VSE mendahului kenaikan dengan +2.6 peratus diikuti FTSE 100 United Kingdom (+1.4 peratus) dan Dow Jones (+0.6 peratus).
Sementara itu, tekanan ketara berlaku di Korea Selatan KOSPI (-7.1 peratus), Hong Kong Hang Seng (-5.2 peratus) dan Nasdaq (-4.6 peratus).
Dalam pasaran mata wang dan komoditi, dolar AS susut 1.1 peratus berbanding ringgit kepada RM4.089, sekali gus memberi sedikit sokongan kepada mata wang tempatan.
Namun begitu, harga komoditi menunjukkan penyusutan apabila minyak mentah Brent jatuh 10.7 peratus kepada AS$72 (RM294.12) setong, manakala minyak sawit mentah (CPO) susut 1.7 peratus kepada RM4,568 setan.
MBSB Research berpendapat tekanan inflasi berterusan di AS terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi hala tuju aliran dana global, dengan pelabur kekal sensitif terhadap jangkaan kadar faedah serta isyarat makroekonomi semasa. – UTUSAN










