Pejabat AI Kebangsaan bakal diinstitusikan akhir Julai ini - Utusan Malaysia

Pejabat AI Kebangsaan bakal diinstitusikan akhir Julai ini

GOBIND SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dijangka diinstitusikan secara rasmi pada 28 Julai ini bagi memperkukuh usaha Malaysia dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, pejabat tersebut dilancarkan pada Disember 2024 dan beroperasi di bawah inkubasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebelum mencapai tahap kematangan untuk berfungsi sebagai sebuah institusi yang lebih tersusun.

“Institusi ini akan memberi tumpuan kepada penggubalan dasar berkaitan AI, tadbir urus teknologi tersebut serta pembangunan ekosistem yang mampu melahirkan bakat dan syarikat tempatan yang membangunkan AI sendiri,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Digital Realty platform pusat data neutral awan di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja mahu menjadi pengguna teknologi AI, malah berhasrat menjadi negara yang membangunkan teknologi tersebut secara aktif.

“Matlamat kita adalah untuk menjadi sebuah negara yang membina AI, bukan sekadar menggunakannya,” katanya.

NAIO akan berada di bawah Kementerian Digital dan berperanan sebagai agensi utama yang memacu pelaksanaan visi AI Nation 2030.

Menurut beliau, penubuhan institusi ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh daya saing ekonomi digital negara, selain menarik pelaburan teknologi bernilai tinggi serta mempercepat transformasi Malaysia ke arah ekonomi berasaskan inovasi dan AI.

“Penubuhan NAIO secara institusi adalah langkah penting bagi memastikan negara mempunyai mekanisme yang berterusan untuk menilai cabaran semasa dan masa depan berkaitan AI.

“Matlamatnya adalah untuk menghimpunkan kumpulan pakar yang bukan sahaja dapat menangani isu yang kita hadapi hari ini, tetapi juga mengenal pasti cabaran yang bakal muncul serta membangunkan garis panduan yang sesuai lebih awal,” katanya.

Beliau berkata, NAIO dan Suruhanjaya Data merupakan antara struktur utama yang akan memacu agenda transformasi digital negara dalam jangka panjang.

“Ini adalah institusi yang akan membantu membawa negara ke hadapan dalam proses transformasi digital yang sedang berlaku.

“Justeru, kerajaan sedang mempergiat usaha membangunkan piawaian, rangka kawal selia dan tadbir urus AI bagi memastikan penggunaan teknologi tersebut berkembang secara bertanggungjawab dan selamat di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, ketika ini, terdapat jabatan khusus yang sedang merangka piawaian berkaitan AI, selain kerajaan turut meneliti penubuhan sebuah badan penasihat yang akan membantu dalam aspek penggubalan peraturan. 

“Proses tersebut mungkin memerlukan sokongan perundangan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan pengawalseliaan AI dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

“Pada masa sama, persoalan sama ada perlu diwujudkan peruntukan undang-undang khusus berkaitan AI juga sedang diteliti. Bagaimanapun, proses ini melibatkan beberapa komponen berbeza yang perlu dibangunkan secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN