LAC Med peroleh kontrak bekalan RM78 juta untuk 10 hospital di Kedah - Utusan Malaysia

LAC Med peroleh kontrak bekalan RM78 juta untuk 10 hospital di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian teknologi perubatan (MedTech), LAC Med Berhad (LAC Med) memperoleh kontrak bernilai RM78.9 juta bagi pembekalan dan penghantaran reagen bersama barangan berkaitan untuk ujian kimia patologi kepada 10 hospital awam di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) di Kedah.

Kontrak selama empat tahun bermula 15 Jun 2026 hingga 14 Jun 2030 tersebut diperoleh menerusi surat anugerah (LOA) yang diterima daripada sebuah syarikat konsesi penjagaan kesihatan kepada anak syarikat milik penuhnya, LAC Medical Supplies Sdn. Bhd.

Projek berkenaan melibatkan pembekalan dan penghantaran produk daripada prinsipal baharu yang baru dilantik berasaskan model ‘Instrument Placement’, dengan kumpulan bertindak sebagai wakil jenama global tersebut serta memasarkan reagen dan bahan gunanya di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAC Med, Liew Yoon Poh berkata, kontrak berskala besar itu bukan sahaja membuktikan kejayaan syarikat membantu prinsipal baharu menembusi pasaran penjagaan kesihatan Malaysia, malah mengukuhkan aliran pendapatan berulang kumpulan.

“Ini merupakan pasaran yang belum diterokai oleh kumpulan dan peluang yang baik untuk syarikat membina rekod prestasi dalam pembekalan bahan guna habis perubatan.

“Selain itu, kumpulan dapat memperkukuh hubungan dengan pelanggan serta menawarkan penyelesaian tambahan bagi memenuhi keperluan mereka yang sentiasa berkembang.

“Sebagai antara peneraju dalam pasaran penyelesaian perubatan, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh lebih banyak kontrak baharu bagi memperkukuh buku pesanan dan memacu pertumbuhan syarikat,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, LAC Med memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM105.7 juta daripada jenama yang sama, menjadikan jumlah buku pesanannya meningkat kepada RM277.9 juta, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

LAC Med berkata, pihaknya kini mempunyai liputan di 58 peratus hospital di seluruh negara dengan lebih daripada 2,600 unit peralatan perubatan telah dipasang.

Tambahnya, melalui 11 jenama yang diwakilinya, kumpulan menawarkan lebih 1,250 unit penyimpanan stok (SKU) merangkumi peranti perubatan, bahan guna habis serta penyelesaian teknologi maklumat (IT).

Selain itu, kumpulan menyokong lebih 300 pelanggan aktif dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia, termasuk institusi kesihatan awam dan swasta, hospital universiti, pejabat kesihatan daerah, pembekal peranti perubatan serta syarikat konsesi penjagaan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN