Insentif solar Selangor manfaatkan rakyat, industri

Insentif solar Selangor manfaatkan rakyat, industri

solar
GUNTOR TOBENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Kerajaan Selangor menawarkan rebat cukai taksiran sehingga 100 peratus kepada pemilik rumah yang memasang sistem solar di bumbung merupakan insentif yang boleh memberi kesan positif kepada rakyat, industri tenaga boleh baharu dan ekonomi negeri secara keseluruhannya.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir Guntor Tobeng berkata, bagi rakyat langkah yang diumumkan oleh kerajaan Selangor itu adalah dalam bentuk penjimatan bil elektrik setiap bulan.

Katanya, dengan menjana elektrik sendiri melalui panel solar, pengguna dapat mengurangkan pergantungan kepada bekalan grid dan seterusnya menurunkan perbelanjaan tenaga isi rumah.

Sebelum ini katanya, pengguna agak keberatan untuk memasang solar, tetapi dengan rebat cukai taksiran oleh kerajaan Selangor ini ia membantu mengurangkan tempoh pulangan modal (payback period), menjadikan pelaburan solar lebih menarik dan berbaloi.

“ Dengan kos tenaga yang dijangka terus meningkat dalam jangka panjang, pemasangan solar memberi perlindungan kepada pengguna daripada kesan kenaikan tarif elektrik pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk  Seri Amirudin Shari  yang menawarkan rebat cukai taksiran sehingga 100 peratus bagi pemasangan bumbung panel solar di kawasan perumahan sebagai langkah menggalakkan rakyat memanfaatkan teknologi hijau dan mampan.

Insentif itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk mempercepat peralihan ke arah pembangunan rendah karbon dan mencapai matlamat negeri neutral karbon pada masa hadapan.

Menurut Guntor, penggunaan tenaga solar membantu mengurangkan pelepasan karbon dan pergantungan kepada bahan api fosil. Ini membolehkan rakyat memainkan peranan langsung dalam usaha menangani perubahan iklim.

Bagi pihak industri pula katanya, terutama yang terbabit dalam membekal dan memasang penal-penal solar, insentif kerajaan negeri itu akan mewujudkan pasaran yang lebih besar kepada syarikat pembekal, pemasang dan penyedia perkhidmatan solar.

“Salah satu cabaran utama industri solar kediaman ialah kos permulaan yang tinggi. Rebat cukai membantu mengurangkan kebimbangan pengguna dan memudahkan syarikat meyakinkan pelanggan untuk membuat pelaburan.

Katanya, secara tidak langsung insentif kerajaan Selangor itu akan mendorong kepada peningkatan permintaan akan mendorong lebih banyak pengeluaran yang akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

Pasaran yang berkembang juga akan mendorong syarikat memperkenalkan teknologi lebih cekap, pakej pembiayaan yang lebih menarik dan perkhidmatan yang lebih kompetitif.

Sehubungan itu kata Guntor, ia membantu memperkukuhkan rantaian industri tempatan kerana pertumbuhan sektor solar bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat pemasangan, malah turut merangsang permintaan terhadap pembekal peralatan, syarikat kejuruteraan, institusi kewangan dan penyedia latihan teknikal.

“Selain membantu rakyat dan industri, langkah ini turut menyokong sasaran peralihan tenaga negeri. Lebih banyak pemasangan solar bermakna daripada segi pengurangan pelepasan karbon, pengurangan tekanan terhadap sistem grid elektrik pada waktu puncak, menarik pelaburan hijau ke Selangor dan mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai negeri peneraju ekonomi hijau di Malaysia.

“Secara keseluruhannya, rebat cukai taksiran ini mewujudkan situasi “menang-menang” kepada semua pihak. 

“Rakyat menikmati penjimatan kos, syarikat solar memperoleh peluang perniagaan yang lebih luas, manakala kerajaan negeri dapat mempercepat agenda tenaga bersih dan pembangunan mampan. 

“Langkah ini juga boleh menjadi model yang wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain dalam usaha mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu di peringkat domestik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN