DHL beri tumpuan pelaburan tenaga solar di Malaysia

DHL beri tumpuan pelaburan tenaga solar di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia kekal sebagai pasaran yang berkembang pesat bagi DHL dan syarikat itu terus memberi tumpuan kepada pelaburan dalam tenaga solar sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Penghantaran Global DHL, Oscar de Bok berkata, Malaysia secara khusus merupakan pasaran yang berkembang pesat bagi syarikat logistik itu.

“Jika dilihat kepada trend China Plus One serta pelaburan besar dalam industri semikonduktor, kami menjangkakan pertumbuhan yang ketara di negara ini.

“Dalam pelaburan yang syarikat lakukan di Malaysia, tenaga solar turut menjadi sebahagian daripada fokus kami. Pelaksanaan pelaburan solar bergantung sama ada ia dilakukan secara langsung oleh kami atau melalui rakan kongsi yang menyediakan bangunan dan pengangkutan.

“Malaysia sememangnya merupakan negara yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi dan sejajar dengan pertumbuhan tersebut, kami terus melabur dalam bahan api alternatif, dengan tenaga solar menjadi tumpuan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian  pada sesi taklimat media bertajuk Dalam Logistik Tenaga Baharu: Daripada Risiko Tenaga kepada Daya Tahan Tenaga secara langsung melalui Zoom dari Schiphol, Amsterdam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Perniagaan Global DHL, Dr. Tobias Meyer berkata, kekangan kapasiti dan sambungan grid elektrik menjadi antara cabaran utama dalam mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (TBB) serta elektrifikasi sektor logistik di Malaysia

Katanya, akses dan kapasiti grid merupakan cabaran besar, bukan sahaja di Eropah tetapi juga di beberapa lokasi di Asia.

Menurutnya, dalam membantu negara mencapai sasaran sifar bersih, pihaknya memainkan dua peranan utama iaitu mengurangkan karbon daripada perkhidmatannya sendiri dan pada masa sama menyokong pemain tenaga baharu untuk memperluaskan operasi mereka.

“Cabaran yang kami hadapi di Malaysia dan juga di banyak negara lain adalah isu rangkaian grid serta pengembangannya.

“Akses dan kapasiti grid merupakan cabaran besar, bukan sahaja di Eropah tetapi juga di beberapa lokasi di Asia,” katanya.

Beliau berkata, DHL kini melaksanakan beberapa inisiatif TBB di Malaysia termasuk pemasangan sistem solar di fasiliti miliknya dan penggunaan bekalan elektrik daripada sumber tenaga hijau dari pelbagai pilihan tersedia.

“Selain itu, kami turut mempercepatkan penggunaan pengangkutan darat berasaskan elektrik, termasuk di Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN