PETALING JAYA: Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menyemak naik unjuran inflasi serantau kepada 1.8 peratus bagi tahun 2026, berbanding anggaran 1.4 peratus sebelum ini.
Menurut kemas kini pasca-laporan Prospek Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) terbaharu AMRO, semakan itu mencerminkan gangguan yang lebih berpanjangan akibat krisis di Asia Barat yang kini memasuki bulan keempat.
Perkembangan itu juga tersasar daripada jangkaan awal pasaran yang meramalkan krisis berkenaan akan reda dalam tempoh dua bulan.
Meskipun berdepan tekanan inflasi yang lebih tinggi, AMRO bertindak mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan bagi rantau ASEAN+3 pada kadar 4.0 peratus bagi 2026.
Ketua Ekonominya, Dong He berkata, walaupun pertumbuhan ASEAN+3 secara amnya kekal berdaya tahan disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta eksport sektor teknologi, tanda-tanda awal tekanan ekonomi kini mula kelihatan di peringkat serantau.
“Kos tenaga, komoditi dan logistik telah melonjak serta kekal tinggi, manakala bekalan produk petroleum pula semakin mengecil.
“Kos tenaga dan pengangkutan yang lebih tinggi ini mula memberi kesan kepada inflasi serta menambah tekanan kepada rantaian bekalan industri. Jika konflik ini berterusan, tekanan tersebut boleh meluas dan menjejaskan pertumbuhan serantau,” katanya.
Menurut AMRO, kesan penuh konflik Asia Barat masih belum dirasai sepenuhnya meskipun pertumbuhan suku pertama tahun ini merekodkan prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Peningkatan kos tenaga dan input industri, di samping ketidaktentuan tarif yang berterusan dijangka memberi impak yang tidak sekata kepada rantau ini, terutamanya kepada ekonomi negara pengimport bersih tenaga yang bakal berdepan cabaran lebih getir.
Laporan itu turut mendedahkan senario buruk sekiranya konflik tersebut terus meruncing, yang mana harga minyak mentah diunjur boleh mencecah purata AS$125 (RM495.65) setong berbanding andaian asas sekitar AS$95 (RM376.69) setong.
Jika keadaan itu berlaku dan gangguan bekalan menjadi semakin parah, pertumbuhan ekonomi ASEAN+3 berisiko perlahan kepada 2.5 peratus, manakala kadar inflasi boleh melonjak sehingga 3.5 peratus.
Jika tidak mengambil kira tahun-tahun pandemik Covid-19, situasi tersebut bakal menyaksikan kadar inflasi serantau tertinggi dalam tempoh lebih sedekad, selain mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling perlahan sejak Krisis Kewangan Asia.
Bagi peringkat domestik, AMRO mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar 4.6 peratus bagi 2026, tidak berubah daripada anggaran yang dibuat pada laporan April lalu.
Kadar inflasi (CPI) bagi pasaran tempatan juga diunjur kekal stabil pada paras 2.0 peratus untuk tahun ini.
Sehubungan itu, Dong He menyarankan agar respons dasar daripada kerajaan negara anggota perlu kekal tangkas dan fleksibel mengikut evolusi kejutan ekonomi semasa.
“Sokongan jangka pendek haruslah diberikan secara bersasar dan bersifat sementara, manakala usaha jangka panjang perlu ditumpukan kepada usaha memperkukuh keselamatan tenaga, daya tahan rantaian bekalan serta integrasi serantau,” katanya. – UTUSAN










