PETALING JAYA: Zero Healthcare memperkenalkan konsep Zero Power Station bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), bagi mentransformasikan pengalaman pelancongan di Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan mentakrif semula cara pelancong berehat dan memulihkan tenaga menerusi lokasi kesejahteraan yang mudah diakses di seluruh negara di bawah tema kempen ‘Recharge Along Your Journey’.
Sejak dilancarkan pada 2022, Zero Power Station telah berkembang kepada lebih 800 lokasi dengan lebih 2,000 kerusi urut awam dan menyasarkan peluasan platform ini kepada 5,000 lokasi menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung berkata, fokus kerajaan bukan sahaja untuk menarik pengunjung, tetapi juga mempertingkatkan kualiti keseluruhan pengalaman mereka sepanjang perjalanan.
“Inisiatif seperti Zero Power Station mencerminkan inovasi yang kami alu-alukan, kerana ia meningkatkan keselesaan dan kemudahan pelancong, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi yang progresif dan berpaksikan pengalaman pengunjung,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Zero Healthcare, Tommy Tham berkata, pihaknya memperkenalkan penyelesaian ringkas namun berimpak dengan menerapkan elemen kesejahteraan ke dalam setiap momen perjalanan harian.
Katanya, Zero Power Station merupakan pengalaman urutan kongsi berasaskan aplikasi yang direka bagi mengatasi cabaran lazim ketika melancong seperti kepenatan berjalan jauh atau menunggu lama di hab pengangkutan.
“Pelancong hari ini bukan sekadar mencari destinasi, tetapi juga pengalaman perjalanan yang lebih baik. Kami amat berbesar hati dapat menyokong TMM2026 melalui penambahbaikan bermakna terhadap cara orang ramai menikmati pengalaman di negara kita,” katanya.
Bagi memeriahkan lagi kempen, maskot rasmi TMM2026 iaitu Wira dan Manja, bersama maskot Zero Healthcare, Captain Roro Paws, akan membuat penampilan khas di lokasi-lokasi terpilih bagi mewujudkan pengalaman interaktif.
Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi Zero untuk menikmati pengalaman kerusi urut secara serta-merta, di mana pengguna kali pertama akan menerima kredit percuma sebagai pengenalan kepada perkhidmatan tersebut.
Langkah ini sejajar dengan visi Zero Healthcare untuk membina masyarakat yang ‘bebas tekanan dan bebas penyakit’, sambil menyokong aspirasi negara sebagai destinasi pelancongan terkemuka di rantau ini. – UTUSAN









