PETALING JAYA: Yayasan IOIPG, cabang kebajikan IOI Properties Group (IOIPG) menyumbang RM14,166 kepada 45 kanak-kanak dari Pusat Jagaan kanak-kanak miskin Rukaiyah bagi menceriakan suasana perayaan penghuninya.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan IOIPG, Kim Teoh berkata, penganjuran program tersebut merupakan usaha strategik syarikat dalam meneruskan legasi mendiang pengasasnya, Tan Sri Dr. Lee Shin Cheng yang sentiasa menekankan kebaijkan komuniti.
“Mendiang pengasas kami bermula dari latar belakang yang serba kekurangan, namun beliau membuktikan bahawa kerja keras mampu membuahkan kejayaan ekonomi.
“Kami mahu anak-anak ini sedar bahawa dengan azam yang kuat dan fokus kepada pelajaran, mereka mampu membina mobiliti ekonomi yang lebih baik untuk masa depan, “ katanya.
Menurut beliau, penglibatan aktif syarikat dalam aktiviti kebajikan bukan sekadar bantuan bermusim, malah ia bertujuan memberi inovasi kepada generasi muda untuk memecah rantaian kemiskinan melalui pemerkasaan pendidikan.
Penerima pada majlis tersebut terdiri daripada 20 kanak-kanak lelaki dan 25 perempuan berusia antara tujuh hingga 18 tahun, yang turut ditemani oleh 13 orang penjaga pusat berkenaan.
Selain sumbangan material, majlis turut diisi dengan aktiviti pembangunan sosial seperti sukaneka dan jamuan makan bagi mengeratkan hubungan antara warga korporat dan komuniti setempat.
Sejak program Wish Tree diperkenalkan pada 2024, Yayasan IOIPG secara konsisten telah menyuntik dana berjumlah RM 77,250 ke dalam pelbagai inisiatif kepada kira-kira 147 kanak-kanak kurang bernasib baik.
Selain itu, pada februari lalu, yayasan ini juga menyalurkan sumbangan sebanyak RM 7,651.50 kepada Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih (House of Love) sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Langkah ini dilihat seiring dengan modal perniagaan lestari IOIPG yang menggabungkan aspek pembangunan hartanah dengan pelaburan sosial bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh di semua lokasi operasi syarikat. – UTUSAN









