Setia Awan bakal lancar pusat beli-belah di Bukit Ampang Permai - Utusan Malaysia

Setia Awan bakal lancar pusat beli-belah di Bukit Ampang Permai

ERIC Chew (kiri) bersama Pengarah Jualan dan Pemasaran Kumpulan Billion, Leong Teik Ee semasa majlis menandatangani MoU bagi penyediaan kemudahan barangan runcit berkualiti untuk projek perumahan Setia Awan di Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setia Awan bakal melancarkan pusat membeli-belah komuniti pertama di Bukit Ampang Permai yang dikenali sebagai Avenue F, sekali gus bakal mengubah wajah landskap komersial di kawasan berkenaan menjelang suku ketiga 2027.

Bagi merealisasikan hab sosial terbaharu itu, pemaju hartanah terkemuka itu telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama tujuh jenama runcit serta makanan dan minuman (F&B) terkemuka tanah air.

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Galeri Jualan Fona Vista itu melibatkan rakan kongsi utama seperti B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR) dan Alpro Pharmacy.

Langkah ini bagi memastikan bakal penduduk, terutamanya bagi projek Fona Vista, mendapat akses mudah kepada kemudahan barangan harian, penjagaan kesihatan dan pilihan kuliner premium tepat di ambang pintu mereka.

Ketua Pegawai Operasi Setia Awan, Eric Chew berkata, kehadiran pusat komersial Avenue F ini dibina khusus untuk mentakrifkan semula keselesaan hidup di kawasan pinggir bandar melalui ekosistem komuniti yang holistik.

“Majlis hari ini adalah lebih daripada sekadar aturan perniagaan; ia adalah langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah.

“Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai ini, kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated,” katanya dalam kenyataan.

Pusat membeli-belah Avenue F ini bakal menjadi nadi sokongan kepada Fona Vista, iaitu sebuah projek kondominium lereng bukit berkepadatan rendah bergaya pusat peranginan yang terletak 145 meter di atas paras laut serta bersebelahan Hutan Simpan Hulu Langat.

Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan agresif syarikat, Setia Awan sebelum ini turut menjalin kerjasama dengan Kumpulan Billion bagi dua projek perumahannya di Melaka.

Melihat kepada impak positif kolaborasi sedemikian, pemaju hartanah itu merancang untuk memperluaskan lagi momentum konsep hab komuniti ini ke beberapa projek pembangunan akan datang di Selayang, Shah Alam dan Tanjung Malim. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN