Oriental Kopi catat untung bersih RM15 juta pada suku kedua

Oriental Kopi catat untung bersih RM15 juta pada suku kedua

ANTARA produk Oriental Kopi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali rangkaian kafe makanan dan minuman (F&B), Oriental Kopi Holdings Berhad merekodkan keuntungan bersih meningkat 8.8 peratus kepada RM15 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 berbanding RM13.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil kumpulan pula melonjak 42.7 peratus kepada paras tertinggi RM147.3 juta.

Pertumbuhan keuntungan bersih yang lebih perlahan itu disebabkan terutamanya oleh pembayaran bonus kakitangan serta kesan tempoh Ramadan, meskipun kos operasi kekal terkawal sepanjang suku berkenaan.

Pengarah Urusannya, Datuk Calvin Chan Jian Chern berkata, pertumbuhan bukan sekadar matlamat utama syarikat, sebaliknya perlu dicapai secara mampan.

“Persoalan mengenai pertumbuhan mampan merangkumi pelbagai aspek, sebab itu kami tidak pernah berhenti berinovasi.

“Kami bukan sahaja memperluaskan cawangan secara strategik di seluruh negara, malah terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap produk sedia ada serta memperluaskan menu dengan lebih banyak pilihan.

“Matlamat kami adalah untuk mencipta nilai berkekalan dan membina pengalaman serta kenangan terbaik kepada pelanggan di setiap cawangan Oriental Kopi.

“Pada masa sama, kami turut memperkenalkan lebih banyak produk barang pengguna bergerak pantas (FMCG) supaya pengalaman itu dapat dinikmati di mana sahaja. Itulah pertumbuhan mampan yang sentiasa kami usahakan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2026, hasil kumpulan meningkat 42.5 peratus kepada paras tertinggi baharu RM286.5 juta berbanding RM201 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan operasi rangkaian kafe selain peningkatan jualan produk makanan berbungkus menerusi segmen pengedaran dan peruncitan.

Operasi rangkaian kafe kekal menjadi penyumbang utama hasil kumpulan dengan menjana RM257 juta atau 89.7 peratus daripada jumlah hasil sepanjang tempoh dikaji.

Segmen pengedaran dan peruncitan produk makanan berbungkus pula menyumbang RM26.8 juta atau 9.3 peratus daripada jumlah hasil, manakala bakinya disumbangkan oleh segmen lain.

Seiring pertumbuhan hasil, keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (keuntungan bersih) bagi tempoh itu meningkat 19.2 peratus kepada RM32.1 juta berbanding RM26.9 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN