PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus dilihat sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan tekanan inflasi terus meningkat dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu.
Langkah itu dibuat susulan mesyuarat terbaharu Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM kelmarin yang mengambil kira kestabilan harga serta keperluan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi domestik.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, keputusan tersebut mencerminkan pendekatan seimbang bank pusat dalam mengawal inflasi tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi.
Menurutnya, kadar OPR semasa dilihat masih sesuai untuk mengekang tekanan harga, khususnya ketika risiko luaran seperti kenaikan harga komoditi dan ketegangan geopolitik masih membelenggu ekonomi dunia.
“BNM dilihat mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana inflasi ketika ini masih terkawal, namun risiko luaran boleh memberi kesan kepada harga barangan dan kos sara hidup jika tidak dipantau dengan baik.
“Pada masa sama, ekonomi domestik masih mempunyai asas yang kukuh, jadi tiada keperluan mendesak untuk melonggarkan atau mengetatkan dasar monetari secara agresif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kestabilan kadar faedah juga penting bagi membantu pengguna dan perniagaan merancang komitmen kewangan dalam tempoh terdekat.
“Dengan OPR dikekalkan, pengguna tidak terlalu terbeban dengan kenaikan kos pinjaman, manakala sektor perniagaan dapat meneruskan pelaburan dan operasi dalam keadaan lebih stabil.
“Namun, risiko inflasi tetap perlu diberi perhatian terutama jika berlaku kenaikan harga minyak global atau gangguan rantaian bekalan,” katanya.
Sementara itu, PublicInvest Research menjangkakan BNM akan terus mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus sepanjang tahun ini berikutan tekanan inflasi masih berada dalam julat terkawal.
Menurut firma penyelidikan itu, unjuran inflasi indeks harga pengguna (CPI) bagi 2026 kekal pada 2.4 peratus tahun ke tahun, hampir kepada had atas unjuran BNM antara 1.5 hingga 2.5 peratus.
“Walaupun prospek inflasi sedikit kurang stabil disebabkan faktor luaran, keadaan semasa masih belum cukup kuat untuk mendorong BNM mengetatkan dasar monetari.
“Tekanan inflasi ketika ini lebih banyak dipengaruhi kos luar berbanding permintaan domestik,” katanya dalam nota penyelidikan.
Tambahnya, harga siling petrol RON95 pada RM1.99 seliter dijangka membantu mengurangkan impak kenaikan harga bahan api global terhadap pengguna.
Bagaimanapun, firma itu tidak menolak kemungkinan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada suku keempat 2026 sekiranya tekanan inflasi kembali meningkat.
“Sebarang kenaikan kelak lebih bersifat penormalan dasar dan bukannya permulaan kepada kitaran pengetatan monetari baharu,” katanya. – UTUSAN










