Matrade raih potensi eksport RM126.42 juta di Semicon Southeast Asia 2026 - Utusan Malaysia

Matrade raih potensi eksport RM126.42 juta di Semicon Southeast Asia 2026

MATRADE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berjaya menjana potensi eksport bernilai RM126.42 juta menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang diadakan sempena Semicon Southeast Asia 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Program itu dianjur dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (Msia) mencerminkan usaha strategik bersepadu bagi memperkukuh integrasi rantaian bekalan, memupuk kerjasama global serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem elektrik & elektronik (E&E) dan semikonduktor global.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Abu Bakar Yusof berkata, pihaknya memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan eksport industri semikonduktor Malaysia ke pasaran global.

“Sepanjang sedekad lalu, Matrade telah menganjurkan INSP sempena Semicon Southeast Asia dan berjaya menghubungkan 327 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan 51 pembeli antarabangsa dari 19 ekonomi bagi pelbagai produk dan perkhidmatan E&E, sekali gus menjana hampir RM1 bilion nilai jualan eksport.

“Melalui inisiatif seperti INSP, Matrade terus menjadi penghubung strategik kepada syarikat Malaysia untuk memperluas jejak global mereka,” katanya.

INSP menghimpunkan 14 pembeli antarabangsa dari 12 ekonomi iaitu Austria, Mesir, Perancis, Hong Kong, Itali, Arab Saudi, Singapura, Switzerland, Taiwan, Turkiye, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Sebanyak 49 syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam 105 mesyuarat perniagaan yang diatur lebih awal secara fizikal dan maya, sekali gus membuka peluang jualan dan potensi eksport bernilai RM126.42 juta di samping mewujudkan kerjasama baharu serta memperkukuh hubungan perniagaan sedia ada.

Pembeli yang terlibat mewakili segmen utama dalam rantaian nilai semikonduktor dan pembuatan maju termasuk pengeluar peranti bersepadu, penyedia pemasangan dan ujian semikonduktor luar (OSAT), syarikat aeroangkasa serta pemaju tenaga boleh baharu.

Antara keperluan sumber yang dikenal pasti termasuk komponen dan bahagian berketepatan tinggi, penyelesaian automasi kilang, pemasangan papan litar bercetak (PCBA), kabel dan harness wayar, peralatan ujian automatik (ATE) serta penyelesaian dan bahan guna habis bilik bersih seperti pakaian khas, beg Electrostatic Discharge (ESD) dan sarung tangan.

Menurut beliau, sektor E&E kekal sebagai tunjang utama eksport pembuatan negara dengan sumbangan 44.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada 2025, bernilai RM711.44 bilion, iaitu peningkatan hampir 29 kali ganda dalam tempoh 35 tahun.

“Bagi tempoh 2015 hingga 2025 sahaja, eksport sektor itu meningkat lebih dua kali ganda, mencerminkan pertumbuhan pesat sepanjang dekad lalu.

“Peranti semikonduktor, litar bersepadu (IC), transistor dan injap terus mendominasi eksport E&E dengan pegangan 65.4 peratus bernilai RM465.62 bilion tahun lalu,” katanya.

Malaysia kini berada dalam kalangan pengeksport utama produk E&E dunia serta kekal sebagai pemain penting dalam ekosistem semikonduktor global, khususnya dalam segmen OSAT.

Matrade berkata, inisiatif seperti INSP penting dalam memastikan momentum pertumbuhan itu berterusan, selain menyokong aspirasi Malaysia mencapai RM1 trilion eksport E&E menjelang 2030.

Program berkenaan juga dijangka mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan melalui pemindahan teknologi, pengukuhan rantaian bekalan domestik serta peningkatan penglibatan PKS dalam aktiviti bernilai tinggi, sekali gus menyumbang kepada penciptaan pekerjaan, peningkatan pelaburan dan nilai tambah industri negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN