PUNB kurangkan kadar keuntungan Prosper Grow kepada 3.5 peratus - Utusan Malaysia

PUNB kurangkan kadar keuntungan Prosper Grow kepada 3.5 peratus

IZWAN ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengumumkan penurunan kadar keuntungan bagi skim pembiayaan perniagaan Prosper Grow kepada 3.5 peratus setahun, menjadikannya antara tawaran paling kompetitif dalam pasaran ketika ini.  

Langkah segera itu diperkenalkan bagi menyokong usahawan bumiputera menangani tekanan kos operasi serta ketidaktentuan rantaian bekalan global yang semakin mencabar.  

Kadar baharu tersebut merupakan penurunan signifikan daripada julat 5 hingga 6.75 peratus sebelum ini dan berkuat kuasa bagi semua kelulusan pembiayaan bermula 1 Januari 2026, termasuk untuk penerima sedia ada yang diluluskan pada tahun ini.  

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan PUNB yang proaktif bagi memastikan perniagaan usahawan Bumiputera kekal berdaya saing dan mampu berkembang secara mampan dalam jangka panjang.  

“Dalam ketidaktentuan ekonomi global, tekanan kos merupakan realiti yang perlu ditangani. Penurunan kadar ini bukan sekadar insentif kewangan, malah langkah penting untuk memastikan usahawan Bumiputera kekal berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, inisiatif itu juga selari dengan amanat Perdana Menteri untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera yang inklusif di bawah kerangka Malaysia Madani.  

Pengurangan kadar keuntungan antara 1.5 hingga 3.25 peratus itu dijangka menghasilkan penjimatan kos yang ketara, sekali gus memperkukuh aliran tunai serta memberi ruang kepada pelaburan semula untuk pertumbuhan perniagaan.  

Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan awal Pelan Strategik Lima Tahun PUNB R30 (2026–2030) yang berpaksikan tiga teras utama iaitu Memperkukuh (Reinforce), Peningkatan Skala (Scale) dan Kemampanan (Sustainability).

Menerusi penjajaran semula produk pembiayaan, PUNB kini menawarkan tiga skim utama yang disusun mengikut tahap pertumbuhan perniagaan bagi memastikan sokongan yang lebih sasar. 

Skim Prosper Grow memberi tumpuan kepada usaha menyokong pertumbuhan usahawan dalam sektor peruncitan, perdagangan, pengedaran dan pembuatan dengan had pembiayaan sehingga RM1 juta bagi syarikat Sdn. Bhd. serta RM500,000 bagi entiti milikan tunggal atau perkongsian.

Selain itu, PUNB turut memperkenalkan skim Prosper Great yang khusus untuk memacu transformasi syarikat Bumiputera berpotensi tinggi ke arah sektor strategik seperti teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui dengan kapasiti pembiayaan mencecah RM10 juta. 

Bagi menyokong pelaksanaan projek atau kontrak berskala besar daripada organisasi bereputasi termasuk perolehan kerajaan, skim Prosper Impact/Nova ditawarkan dengan had pembiayaan sehingga RM20 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN