Malaysia perkasa infrastruktur digital, bakat dan ekosistem AI

Malaysia perkasa infrastruktur digital, bakat dan ekosistem AI

GOBIND Singh Deo ketika berucap pada Majlis Pelancaran NEXTDC KL1 Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangunan infrastruktur digital, pengukuhan bakat teknologi serta pembentukan ekosistem kecerdasan buatan (AI) di seluruh negara menjadi teras utama usaha Malaysia dalam mencapai status negara bersedia AI (AI-ready nation) menjelang 2030.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerajaan kini memberi tumpuan terhadap persediaan negara dalam mendepani perkembangan AI yang dijangka menjadi asas kepada pelbagai sektor ekonomi pada masa depan.

“Pembangunan ini bukan sahaja melibatkan aspek teknologi dan pusat data, malah merangkumi usaha membangunkan tenaga kerja serta sistem sokongan bagi memacu ekonomi digital negara.

“Perdana Menteri mempunyai visi untuk membangunkan sebuah negara AI menjelang 2030. Dalam tempoh lima tahun ini, kita melihat bagaimana Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang benar-benar bersedia untuk AI.

“Negara bersedia AI bukan hanya mengenai infrastruktur, tetapi juga bakat serta bagaimana kita membangunkan ekosistem baharu ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran NEXTDC KL1 Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, ekonomi digital negara menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 23.3 peratus pada 2023 kepada 25.5 peratus pada 2025.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan sumbangan ekonomi digital mencecah 30 peratus menjelang 2030.

“Kerajaan juga menjangkakan hampir semua sektor pada masa depan akan dipacu teknologi AI tersendiri, sekali gus memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan negara bersedia menghadapi perubahan teknologi tersebut.

“Justeru, kerajaan kini memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem AI yang selamat, mampan dan bersedia menghadapi keperluan teknologi generasi baharu.

“Perkembangan pesat AI dijangka memberi impak besar bukan sahaja kepada ekonomi, malah terhadap masyarakat dan sistem tadbir urus negara.

“Jika sebelum ini kita memberi fokus kepada isu keterhubungan digital, kini AI dijangka memainkan peranan penting dalam kehidupan harian, ekonomi dan pentadbiran negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, Gobind berkata, penubuhan Kementerian Digital pada 2023 merupakan antara langkah penting kerajaan dalam menyelaras pembangunan ekosistem digital negara.

“Kerajaan juga sedang menyelaras pembangunan AI menerusi pasukan petugas khas (Data Centre Task Force) yang dipengerusikan Kementerian Digital bagi menggabungkan pelbagai kementerian dan kerajaan negeri di bawah satu platform.

“Usaha itu penting kerana pembangunan AI dan pusat data membabitkan pelbagai pihak termasuk kementerian berkaitan komunikasi, utiliti dan kerajaan negeri.

“Kita mahu memastikan setiap negeri turut bersama dalam perjalanan ini kerana banyak negeri sudah mempunyai ekosistem yang sedang berkembang.

“Apa yang penting ialah bagaimana kita memanfaatkan semua aset itu untuk membina sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada seluruh Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN