Ketegangan global uji ketahanan ekonomi ASEAN

Ketegangan global uji ketahanan ekonomi ASEAN

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETEGANGAN geopo­litik di Asia Barat yang berpanjangan ki­ni mula memberi tekanan kepada eko­nomi serantau, termasuk negara-negara ASEAN yang bergantung kepada perdagangan global, import tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa.

Konflik melibatkan Iran dan Israel bukan sahaja meningkatkan risiko terhadap pasaran minyak dunia, malah mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi, kos logistik serta ketidaktentuan ekonomi global yang boleh memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara-negara membangun.

Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu, beberapa negara ASEAN mula mengambil langkah untuk memperkukuh daya tahan ekonomi masing-masing menerusi diversifikasi perdagangan, peralihan tenaga dan pengukuhan keselamatan makanan.

Naib Menteri Perdagangan Thailand, Dr. Kirida Bhaopichitr berkata, krisis Asia Barat memberi tekanan besar kepada Thailand dan rantau ASEAN terutamanya melalui kenaikan harga tenaga, bahan mentah dan kos logistik.

Menurut beliau, peningkatan kos tersebut akan memberi kesan berantai kepada harga produk pengguna dan seterusnya menjejaskan sektor pengeluaran serta kuasa beli rakyat.

“Kenaikan harga tenaga menyebabkan harga bahan mentah dan kos logistik turut me­ningkat. Ia akhirnya memberi kesan kepada harga produk pengguna dan ekonomi domestik negara,” katanya dalam satu forum ekonomi ASEAN baru-baru ini.

Beliau berkata, negara berorientasikan eksport seperti Thailand turut berdepan cabaran apabila ekonomi global menjadi perlahan akibat ketidaktentuan geopolitik dan peningkatan kos perdagangan.

Namun begitu, beliau melihat krisis semasa sebagai peluang untuk ASEAN mempercepatkan pembaharuan struktur ekonomi khususnya dalam sektor tenaga dan keselamatan makanan.

“Sekarang adalah masa terbaik untuk beralih daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau. Thailand sedang memperluaskan penggunaan tenaga solar dan teknologi hijau sebagai persediaan jangka panjang,” katanya.

Selain tenaga, Thailand turut menekankan kepentingan keselamatan makanan serantau apabila harga baja dan kos pertanian semakin meningkat.

“ASEAN perlu mula memikirkan bagaimana rantau ini boleh menguruskan bekalan makanan secara kolektif. Thailand bersedia memainkan peranan sebagai pembekal makanan kepada rantau ini,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Vietnam (VCCI), Nguyen Quang Vinh berkata, negara itu mengambil pendekatan menyeluruh untuk mengurangkan impak ketidaktentuan global melalui diversifikasi perdagangan dan kawalan inflasi.

Menurut beliau, Vietnam kini mempunyai 17 perjanjian perdagangan bebas termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Vietnam (EVFTA) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Katanya, strategi tersebut membantu Vietnam membina ekonomi yang lebih terbuka dan berdaya tahan.

“Risiko bukan masalah utama, tetapi ketidaksediaan menghadapi risiko adalah masalah sebenar.

“Kita tidak boleh mengawal kejutan global, tetapi kita boleh mengawal tahap pendedahan ekonomi kita terhadap risiko tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Vietnam turut melaksanakan mekanisme penstabilan harga bahan api dan mengurangkan cukai petroleum bagi mengurangkan tekanan kos terhadap rakyat dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS).

Dalam masa sama, negara itu mempercepatkan pelaburan awam, memperluas sumber tenaga alternatif serta mengukuhkan transformasi digital dan hijau.

“ASEAN tidak boleh terus bergerak secara reaktif. Kita perlu bertindak secara strategik dan lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan global,” jelasnya.

Mengulas mengenai situasi di Malaysia, Ketua Ahli Ekonomi Affin Bank, Alan Tan berkata, perang yang berpanjangan boleh memberi tekanan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara khususnya jika harga minyak mentah terus meningkat melebihi AS$110 (RM435) setong dalam tempoh panjang.

Menurut beliau, Malaysia sebagai ekonomi terbuka amat bergantung kepada prestasi rakan dagang utama dan sebarang kelembapan ekonomi global akan turut memberi kesan kepada eksport negara.

“Apabila perang berlarutan lebih daripada tiga hingga enam bulan dan harga minyak kekal tinggi, kita perlu menilai semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara.

“Walaupun permintaan domestik Malaysia masih kukuh disokong sektor pelancongan, penggunaan swasta dan pelaburan pusat data di Johor, kelembapan perdagangan global tetap memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara paling membimbangkan ketika ini ialah ketidaktentuan pasaran yang menyukarkan pelabur dan perniagaan membuat keputusan jangka panjang.

“Ketidaktentuan dalam perkembangan berkaitan perang memberi tekanan kepada sentimen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN