KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sektor pembinaan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, di bawah rangka kerja penilaian baharu itu, setiap projek pembangunan tidak lagi dinilai berdasarkan pulangan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira integrasi spatial, impak sosial, jejak alam sekitar serta aspek tadbir urus.
“Pemaju yang projeknya selari dengan keutamaan wilayah serta menunjukkan pulangan sosial dan alam sekitar yang jelas akan menerima sokongan kerajaan yang lebih kukuh, termasuk kelulusan lebih pantas, penyelarasan infrastruktur serta akses kepada kemudahan pembiayaan.
“Dalam usaha memperkukuh industri pembinaan negara, kerajaan juga akan melaksanakan kajian reformasi pembinaan bagi merombak struktur sektor tersebut melalui pewujudan rangka kerja kawal selia dan perundangan yang lebih komprehensif.
“Rangka kerja itu akan merangkumi keseluruhan ekosistem pembinaan termasuk pengurusan aset, pembangunan infrastruktur serta perkhidmatan profesional pembinaan sepanjang kitar hayat projek,” katanya dalam ucaptama di Sidang Kemuncak Bangunan dan Hartanah Malaysia 2026.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan kekal komited memperkukuh penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam projek pembinaan di seluruh negara melalui penyediaan persekitaran kerja yang kondusif, kemudahan serta latihan menjelang Julai 2026.
“Inisiatif tersebut dijangka meningkatkan kompetensi dan keupayaan profesional dalam industri dan memperkukuh penyelarasan projek.
“Ia turut mengurangkan konflik reka bentuk, sekali gus memastikan penyampaian projek yang lebih cekap dan berkualiti tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata, kerajaan juga menegaskan kerjasama awam-swasta (PPP) kini menjadi keperluan utama, bukan lagi pilihan, khususnya dalam keadaan ruang fiskal kerajaan Persekutuan yang semakin terhad.
“Pendekatan itu dilihat penting bagi memastikan momentum pembangunan negara dapat diteruskan dengan penglibatan lebih besar sektor swasta dalam pembiayaan dan pelaksanaan projek strategik.
“Ini bukan bermakna kerajaan berundur daripada peranannya, sebaliknya satu pelarasan semula pendekatan pembangunan negara,” jelasnya.
Tambahnya, di bawah RMK13, kerangka PPP akan diperkukuh merangkumi pelaksanaan perumahan mampu milik, pembangunan semula bandar lama, pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sepanjang koridor rel serta pembangunan semula kawasan brownfield. – UTUSAN










