PETALING JAYA: Parti dari Sabah dan Sarawak akan menjadi penentu atau kingmaker bagi membentuk kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), seandainya kemelut politik Melayu terus berlaku.
Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Jayum Jawan berkata, bagaimanapun kedudukan kedua-dua negeri tersebut sebagai penentu tetap bergantung kepada faktor lain termasuk penguasaan kerusi majoriti Melayu sebagai asas mutlak untuk mana-mana gabungan menerajui pentadbiran.
Malah katanya, parti politik sokongan pengundi Melayu masih menjadi faktor paling dominan dalam menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan.
“Untuk membentuk kerajaan Persekutuan secara sah, sesebuah gabungan memerlukan majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat. Setakat ini ada 122 kerusi majoriti Melayu.
“Dalam satu-satu situasi kalau tidak menampakkan mana-mana parti mempunyai majoriti mudah, mana-mana blok akan mengadakan rundingan bersama Sabah dan Sarawak demi mendapatkan sokongan membentuk kerajaan.
“Namun, kalau parti politik Melayu bersatu, sudah pasti majoriti mudah dengan 112 kerusi boleh dapat untuk jadi kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu bergabung bagi memastikan kuasa politik orang Melayu dapat diperkukuhkan.
Katanya, ia juga penting bagi memberi kestabilan politik kepada negara sekali gus membantu membentuk kerajaan yang lebih stabil dan kuat, memudahkan pindaan Perlembagaan serta penggubalan dasar negara.-UTUSAN.










