Johor Plantations catat untung bersih RM50.3 juta pada suku pertama - Utusan Malaysia

Johor Plantations catat untung bersih RM50.3 juta pada suku pertama

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Plantations Group Berhad (JPG) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM50.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, susut kira-kira 33.8 peratus tahun ke tahun berbanding RM75.93 juta pada tempoh sama tahun sebelum.

Penyusutan itu mencerminkan penormalan harga komoditi daripada paras tinggi luar biasa pada tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, JPG merekodkan hasil sebanyak RM356.7 juta bagi suku berkenaa, meningkat 4.8 peratus tahun ke tahun berbanding RM340.43 juta pada tempoh sama tahun sebelum, disokong oleh pelaksanaan operasi yang berdaya tahan serta prestasi harga yang kekal lebih baik berbanding penanda aras industri.

Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.00 sen sesaham bagi tahun kewangan 2026, menegaskan komitmen kumpulan terhadap pulangan mampan kepada pemegang saham.

Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan pasaran, kumpulan kekal fokus kepada disiplin operasi, ketahanan rantaian bekalan serta penciptaan nilai jangka panjang.

“Keupayaan kumpulan mencatat harga melebihi penanda aras MPOB mencerminkan kualiti operasi bersepadu serta kekuatan pelaksanaan komersial.

“Walaupun kos tenaga dan logistik meningkat, kami sebahagian besarnya terlindung daripada tekanan kos jangka pendek selepas memperoleh harga dan bekalan baja bagi keperluan 2026 melalui strategi perolehan proaktif,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Beliau berkata, JPG memasuki baki tahun kewangan 2026 dengan momentum operasi yang kukuh serta pelan pertumbuhan strategik yang jelas.

“Ini termasuk pelaksanaan Fasa 1 Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) yang dijangka beroperasi dalam tahun ini bagi menyokong pengembangan hiliran.

“Dalam masa sama, kumpulan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi, program penanaman semula dipercepat serta pengembangan rangkaian pembekal diperakui bagi memperkukuh produktiviti jangka panjang,” ujarnya.

Mohd Faris berkata, walaupun persekitaran harga lebih sederhana, JPG terus mencatat harga jualan premium berbanding purata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan harga purata CPO RM4,260 setan metrik dan PK RM3,529 setan metrik, berbanding purata MPOB masing-masing RM4,152 dan RM3,396 setan metrik.

Menurutnya, kumpulan merekodkan prestasi operasi kukuh sepanjang suku berkenaan dipacu oleh peningkatan jumlah penghantaran Minyak Sawit Mentah (CPO) dan Isirung Sawit (PK) dan pertambahan kemasukan hasil luar.

“Ia turut merangkumi peningkatan kadar pemprosesan kilang dan kecekapan pengekstrakan, meskipun berdepan kitaran pengeluaran bermusim yang rendah.

“Sepanjang tempoh itu, peningkatan volum pemprosesan disokong oleh pembelian hasil luar (OCP) daripada rangkaian pembekal termasuk pekebun kecil, sekali gus membantu mengekalkan penggunaan kapasiti kilang.

“Kecekapan operasi yang lebih baik turut menyokong pertumbuhan hasil dan keuntungan operasi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN