PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan dengan mencatatkan peningkatan 3.1 peratus bagi Mac 2026, didorong oleh prestasi kukuh sektor pembuatan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan yang berkembang 5.5 peratus serta sektor elektrik yang meningkat 4.9 peratus.
Katanya, prestasi positif sektor pembuatan disokong oleh output berorientasikan eksport yang melonjak 6.7 peratus, khususnya daripada pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang berkembang 14.8 peratus.
“Pengembangan industri berorientasikan eksport ini turut dicerminkan melalui prestasi eksport negara yang meningkat 8.3 peratus pada Mac 2026.
“Selain itu, industri berorientasikan domestik turut mencatatkan pertumbuhan 2.8 peratus, dipacu oleh pembuatan produk prosesan makanan serta produk logam,” katanya dalam kenyataan media.
Bagaimanapun, sektor perlombongan terus merekodkan trend penurunan dengan penguncupan sebanyak 6.5 peratus berbanding negatif 2.0 peratus pada bulan sebelumnya.
Menurut Mohd Uzir, kemerosotan sektor perlombongan itu berpunca daripada penurunan pengeluaran minyak mentah dan kondensat sebanyak 11.3 peratus serta penyusutan output gas asli sebanyak 3.4 peratus.
“Secara keseluruhan bagi suku pertama 2026 (Januari hingga Mac), IPP negara menunjukkan peningkatan 4.0 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama melalui pertumbuhan 5.7 peratus,” katanya.
Mengulas prestasi global, Malaysia berada dalam trend peningkatan bersama beberapa negara jiran seperti Singapura yang mencatatkan pertumbuhan 10.1 peratus, Vietnam (7.2 peratus) dan Thailand (0.8 peratus). – UTUSAN










