Anggota bomba didakwa amang seksual pelajar perempuan 14 tahun - Utusan Malaysia

Anggota bomba didakwa amang seksual pelajar perempuan 14 tahun

MUHAMMAD Aidilafifi Muhammad didakwa atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal serta memiliki imej pornografi pelajar perempuan berumur 14 tahun di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang anggota bomba didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan memiliki imej pornografi seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun antara Februari lalu hingga Mei.

Tertuduh, Muhammad Aidilafifi Muhammad, 28, bagaimana pun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Seri Iskandar, dalam dan luar kawasan asrama sebuah sekolah di Perak Tengah serta di sebuah restoran antara awal Februari hingga 1 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama. Ia membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding yang sama, tertuduh yang juga merupakan pelatih unit kadet bomba sekolah berkenaan turut didakwa atas pemilikan gambar lucah mangsa.

Kandungan tersebut didakwa ditemui di dalam iPhone 14 Pro Max miliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah pada 3 Mei 5 petang.

Kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Nor Arfahanim memohon agar tiada jaminan diberikan memandangkan mangsa adalah di bawah umur.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi kesemua pertuduhan. Tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan dilarang menghubungi, mengganggu mangsa, keluarganya atau mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN