PETALING JAYA: Hong Leong Bank dan HLB Islamic (HLB) melaksanakan bengkel literasi kewangan utamanya, HLB Duitsmart menerusi pelan pendidikan berstruktur melibatkan 27 sekolah rendah dan menengah di daerah Segambut.
Dilancarkan pada 2019, HLB Duitsmart merupakan program pendidikan kewangan yang memenangi pelbagai anugerah dan merangkumi topik seperti pengurusan wang, penyediaan bajet serta kesedaran mengenai penipuan kewangan.
Kerjasama ini menandakan satu pencapaian baharu bagi program berkenaan apabila bengkel dijalankan secara tersusun dengan sokongan pejabat Parlimen, sejajar komitmen untuk memperluas pendidikan kewangan di peringkat komuniti di daerah Segambut.
Ketua Pegawai Eksekutif HLB Islamic, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, HLB Duitsmart bukan sekadar bengkel kewangan biasa dan literasi kewangan adalah asas kepada kemajuan.
Katanya, ia merupakan komitmen jangka panjang bank untuk memastikan pendidikan kewangan dapat diakses, bersifat praktikal dan relevan kepada setiap rakyat Malaysia.
“HLB Duitsmart adalah manifestasi visi ini, digerakkan oleh kakitangan kami sendiri yang berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka.
“Kami berharap dapat mencetuskan minat berterusan dalam kalangan pelajar mengenai cara wang berfungsi, bagaimana melindungi diri daripada penipuan serta merancang masa depan mereka dan kami berbesar hati dapat melaksanakan program berstruktur ini untuk daerah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Kerjasama itu dimulakan dengan pelaksanaan bengkel literasi kewangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr. Ismail, yang memberi pendedahan kepada hampir 300 pelajar mengenai kemahiran asas pengurusan kewangan dan kesedaran terhadap penipuan.
Susulan pelancaran awal itu, HLB turut mengadakan bengkel di SMK Segambut melibatkan lebih 600 pelajar dan merancang untuk mengadakan lebih banyak bengkel di seluruh daerah itu tahun ini.
HLB Duitsmart kini berkembang menjadi antara program literasi kewangan terkemuka di Malaysia, sekali gus membolehkan HLB memenangi anugerah Bank of the Year for Community Empowerment di Sustainability and CSR Malaysia Awards 2024.
Melalui bengkel pelbagai bahasa berasaskan aktiviti, HLB Duitsmart telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 rakyat Malaysia menerusi lebih 300 bengkel di seluruh negara, dikendalikan oleh lebih 1,000 kakitangan HLB yang telah menyumbang lebih 1,500 jam penglibatan komuniti. – UTUSAN










