Mukadimah
Di sebalik kerancakan Malaysia memperkenalkan rangka kerja kewangan mampan dan persediaan menuju pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim, sektor korporat kini berdepan cabaran besar dalam menguruskan data integriti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menyedari keperluan terhadap pelaporan yang telus dan efisien, platform teknologi ESG terkemuka di Asia, ESGpedia, tampil menyediakan penyelesaian automasi yang mampu mengurangkan beban kerja pelaporan sehingga 90 peratus.
Dengan pematuhan terhadap standard antarabangsa, platform ini menjadi jambatan penting bagi syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengakses pembiayaan hijau.
Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI menemu bual Pengasas dan Pengarah Urusan ESGpedia, BENJAMIN SOH, bagi mengupas peranan data digital dalam mendepani regulasi baharu serta bagaimana syarikat Malaysia boleh mengubah kepatuhan menjadi kelebihan daya saing.
UTUSAN: Bagaimana institusi kewangan dan korporat di Malaysia memanfaatkan ESGpedia untuk selari dengan Taksonomi Kewangan Mampan negara yang baharu sahaja diperkenalkan?
BENJAMIN: Walaupun draf taksonomi tersebut masih di peringkat awal, kami sudah membantu bank dan korporat menggunakan automasi digital untuk memenuhi standard wilayah.
Selain menyediakan faktor pelepasan khusus untuk Malaysia bagi memudahkan pengiraan Gas Rumah Hijau (GHG), ciri ESGpedia Taxonomy Regulatory Mapping membolehkan syarikat memuat naik data aktiviti mereka dan melihat secara serta-merta sejauh mana ia selari dengan definisi taksonomi tempatan mahupun standard ASEAN.
Bagi institusi kewangan, ini membantu mereka menilai kedudukan kelestarian syarikat dengan lebih baik sebelum membuat keputusan pembiayaan atau pengurusan risiko.
Sejauh mana pengkelasan data ESG yang tepat dapat membantu syarikat meningkatkan kelayakan mereka untuk mendapatkan pinjaman hijau?
Apabila pengkelasan data itu jelas dan kredibel, bank serta pelabur akan mempunyai keyakinan lebih tinggi untuk menawarkan pinjaman hijau atau pembiayaan berkaitan kelestarian (SLF).
Data yang boleh diaudit mempercepatkan proses kelulusan dan membolehkan syarikat menikmati kadar faedah yang lebih menguntungkan.
Setakat ini, kami telah menyokong lebih 250 pinjaman berkaitan kelestarian di seluruh Asia dan corak yang jelas kelihatan adalah organisasi dengan data padu akan bergerak lebih pantas dalam proses perbankan.
Malaysia dijangka membentangkan RUU Perubahan Iklim tidak lama lagi. Apakah langkah praktikal yang perlu diambil oleh syarikat sekarang?
Jangan tunggu sehingga RUU itu diluluskan. Langkah paling segera adalah membina garis dasar data emisi yang boleh dipercayai, bermula dengan Skop 1 dan 2, sebelum beralih ke Skop 3.
Kami mengesyorkan penyediaan pengumpulan data secara automatik lebih awal, misalnya menghubungkan sistem melalui API atau soal selidik pembekal yang disepadukan terus ke dalam satu platform.
Menjalankan analisis jurang sekarang akan memberi ruang kepada syarikat untuk menangani sebarang kekurangan sebelum peraturan mandatori dikuatkuasakan.
Ramai menganggap regulasi ESG sebagai beban tambahan. Bagaimana ia boleh diubah menjadi kelebihan persaingan?
Syarikat perlu melihat data ESG sebagai aset perniagaan tulen, bukan sekadar tugas kawal selia.
Apabila data anda berpusat dan boleh dipercayai, maklumat yang sama boleh menyokong bidaan kontrak kerajaan atau multinasional yang kini mengutamakan kelestarian.
Ia menarik minat pelabur yang fokus kepada ESG dan membuka pintu kepada terma pembiayaan yang lebih baik.
Peralihan minda daripada ‘kita perlu lapor’ kepada ‘ini cara kita cipta nilai’ adalah kunci kemenangan.
Berdasarkan pengalaman ESGpedia, bagaimanakah anda melihat kesediaan syarikat di Malaysia berbanding rakan serantau di Asia Tenggara?
Syarikat Malaysia telah menunjukkan kemajuan yang sangat baik, terutamanya dalam pelaporan kelestarian asas hasil daripada keperluan Bursa Malaysia dan Panduan Pendedahan ESG Ringkas (SEDG) untuk PKS.
Walaupun masih ada ruang penambahbaikan dalam aspek ketelusan Skop 3 dan sasaran berasaskan sains, mereka yang mengguna pakai alat digital sekarang berada pada kedudukan terbaik untuk mengukuhkan daya saing pasaran.
Bagaimanakah teknologi ESGpedia membantu mengurangkan beban kerja pelaporan sehingga 90 peratus?
Kebanyakan syarikat menghabiskan masa berbulan-bulan menguruskan pelaporan secara manual melalui hamparan kerja yang berisiko kepada ralat.
Platform kami menggantikan proses itu dengan aliran kerja automatik.
Dari pengumpulan data pelbagai jabatan sehingga pengiraan emisi GHG mengikut standard antarabangsa seperti ISO 14064, semuanya dilakukan secara digital.
Ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah laporan yang dihasilkan adalah sedia untuk diaudit.
Dalam kes kecemasan seperti keperluan tender, kami pernah membantu syarikat menyiapkan laporan kelestarian lengkap dalam tempoh dua hingga empat minggu sahaja.
Apakah visi anda terhadap peranan platform data ESG dalam membentuk masa depan kewangan mampan di Malaysia?
Kami melihat platform data dan teknologi sebagai infrastruktur penting bagi seluruh ekosistem.
Apabila taksonomi semakin matang dan RUU Perubahan Iklim memperkenalkan harga karbon serta peraturan pendedahan yang lebih ketat, pihak kerajaan, bank dan pelabur akan memerlukan data ESG masa nyata yang boleh dipercayai untuk membuat keputusan.
Organisasi yang menjadikan kelestarian sebagai keutamaan teras melalui penyelesaian digital akan mempunyai kelebihan jelas untuk mendapatkan modal dan menjamin masa depan perniagaan mereka. – UTUSAN











