BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus - Utusan Malaysia

BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus

MESYUARAT MPC BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam, sejajar dengan jangkaan pasaran ketika ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan luaran.

Kali terakhir bank pusat itu melaraskan OPR adalah pada Julai 2025 apabila kadar berkenaan diturunkan daripada tiga peratus sebagai langkah awal menyokong pertumbuhan ekonomi susulan cabaran luaran.

BNM berkata, pertumbuhan ekonomi global kekal stabil pada suku pertama 2026, disokong permintaan domestik yang mampan serta perkembangan sektor teknologi.

“Pertumbuhan global terus berdaya tahan pada suku pertama 2026, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan perkembangan teknologi global.

“Bagaimanapun, peningkatan mendadak harga tenaga dan komoditi selain gangguan rantaian bekalan akibat konflik Asia Barat mula menjejaskan momentum pertumbuhan global.

“Risiko pertumbuhan yang lebih perlahan kekal tinggi susulan ketidaktentuan berkaitan tempoh dan tahap konflik, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta kebimbangan terhadap penilaian dalam pasaran kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut BNM, prospek pertumbuhan global boleh bertambah baik sekiranya konflik mereda sekali gus memperkukuh semula rantaian bekalan, selain disokong peningkatan perbelanjaan teknologi dan langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara maju.

“Bagi Malaysia, petunjuk terkini menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi terus berkembang pada suku pertama tahun ini, didorong permintaan domestik yang mampan serta pertumbuhan eksport yang kukuh.

“Pada masa hadapan, ketidaktentuan berkaitan tempoh dan tahap konflik Asia Barat akan mempengaruhi prospek pertumbuhan serta inflasi domestik.

“Namun, asas ekonomi Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara. Keadaan guna tenaga, pertumbuhan upah dan langkah dasar sedia ada akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah,” ujarnya.

Mengulas inflasi, bank pusat itu berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatat purata 1.6 peratus dan 2.1 peratus pada suku pertama 2026.

Katanya, harga komoditi global yang lebih tinggi susulan konflik Asia Barat dijangka meningkatkan tekanan kos domestik dan menyebabkan inflasi meningkat sedikit.

“Bagaimanapun, kesan konflik terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada 2026 dijangka kekal terkawal.

“Ini mencerminkan keberkesanan langkah dasar domestik serta keadaan permintaan yang stabil dalam mengurangkan pemindahan tekanan kos luaran kepada harga dalam negeri,” jelasnya.

Menurut BNM, pada paras OPR semasa, MPC berpandangan pendirian dasar monetari kekal wajar dan konsisten dalam memastikan kestabilan harga serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan domestik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN